Akui Buat Silap, Fathia Mohon Padam Video Tarian

SEBELUM ini pelakon cantik, Fathia Latiff pernah terlibat dengan kontroversi menari separuh bogel menerusi aplikasi Bigo Live, sekali gus menggemparkan netizen seluruh negara.

Terkini, Fathia akui kesilapan itu sememangnya memakan diri dan memohon mana-mana pihak yang memuat naik video berkenaan sebelum ini untuk memadam atau menurunkan semula rakaman tersebut.

Memetik laporan portal mStar Online, Fathia enggan mengenang kembali episod ‘hitam’ berkenaan selain mengakui telah mengambil iktibar daripada peristiwa yang memalukan itu.

“Saya mohon kepada sesiapa yang ada memuat naik video live Bigo itu, saya minta untuk padam rakaman tersebut.

“Saya sedar kesilapan lalu dan tak mahu lagi video itu terus berada di laman sosial terutamanya di YouTube.

“Saya tak mahu generasi saya akan datang menonton video tersebut. Kesilapan itu telah menjadi iktibar untuk saya dan merupakan pengajaran yang sangat berguna,” katanya.

Tambah Fathia lagi, kini dia ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap komitmen sedia ada dan terus bergerak ke hadapan dalam memajukan karier seninya.

Dalam pada itu, Fathia turut tidak mahu terus dibayangi kisah lalu dan menanam azam untuk menjadi insan yang lebih baik dan berguna.

“Saya kena teruskan kehidupan dan tak nak fikir lagi fasal kontroversi lama. Kalau fikir benda tu ia hanya akan membuatkan saya semakin ke belakang.

“Saya pun dah tak larat nak cakap tentang isu lama dan tak mahukes itu membuatkan saya makin tenggelam.

“Apa yang saya nampak, kesilapan dulu membuatkan saya jadi lebih baik dan merupakan satu anjakan dalam hidup supaya saya tidak mengulanginya lagi,” tambah Fathia.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru, aktres yang pernah terkenal menerusi drama rantaian, Ariana Rose ini dikatakan bakal muncul dengan single dan memulakan penggambaran drama terbaharu tidak lama lagi.

Baca: Perbaiki Diri, Fathia Lebih Waspada Dalam Beri Komen

Sepanjang tahun lalu, Fathia antara yang tidak lepas daripada mencipta kontroversi sehinggakan rata-rata netizen menggelar pelakon tersebut sebagai artis paling bermasalah pada tahun 2017.

Pun begitu, Fathia mengakui dia kini dalam proses untuk memperbaiki diri untuk menjadi wanita yang lebih baik dari segi rohani sekaligus dijadikan teladan oleh semua pihak. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...