Alamak! Dah Lambat Ni, Nak Sahur Apa?

RAMADAN yang baru tiba pasti ada sesetengah di antara kita agak sukar untuk menyesuaikan diri terutamanya apabila bangun bersahur.

Bagi mereka yang mudah bangun dan boleh menikmati makanan di awal pagi mungkin tiada masalah untuk bersahur tetapi bagaiman pula mereka yang liat nak bangun awal dan bersahur?

“Nak sahur ke tak nak?”

Bersahur mempunyai manfaat dan kelebihan buat diri kita seperti mana yang ditekankan oleh Rasulullah.

Sabdanya, bermaksud: “Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlul Kitab adalah bersahur.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dari Anas bin Malik, Rasulullah bersabda: “Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Jangan risau, bagi anda yang agak sukar bangun awal dan sudah terlambat bersahur, terdapat beberapa makanan ekspres yang boleh dijadikan sebagai hidangan di saat akhir sebelum masuk waktu subuh.

1. Buah-buahan

Anda digalakkan untuk menyediakan buah-buahan yang lembut dan tidak berbiji seperti pisang untuk dimakan terus ataupun dijadikan sebagai jem.

Tidak terlepas juga kurma yang menjadi buah popular menjelang Ramadan. Kandungan nutrient dan zat besi yang tinggi banyak memberi manfaat pada kesihatan anda.

2. Roti dan Biskut

Roti dan biskut adalah makanan yang mudah didapati dan dihidangkan. Bagi mereka yang benar-benar lambat, anda boleh terus memakan begitu sahaja makanan yang berasaskan karbohidrat ini.

Roti dan biskut boleh dimakan dengan pelbagai cara antaranya disapukan bersama jem dan seri kaya. Bagaimnapun, biskut dan roti kurang memberikan kekenyangan berbanding anda mengambil makanan berat seperti nasi.

3. Telur

Makanan berasaskan telur antara yang termudah disediakan dan boleh dimakan dengan apa jua makanan lain. Anda boleh mempelbagaikan cara masakan telur seperti merebus, goreng, dimasak sup dan telur hancur.

Bahagian putih telur mengandungi protein albumin yang juga merupakan vitamin larut lemak manakala bahagian kuning telur merupakan makanan yang mengandungi zat yang berbagai dan seimbang bagus untuk kesihatan badan.

4. Oat

Oat adalah makanan baik untuk mengawal tahap kolestrol dalam badan malah ia juga mengenyangkan. Makanan ini boleh dihidangkan dengan cara mencampurkan susu rendah lemak dan ditambah potongan buah segar sesuai dengan selera.

Anda juga boleh menyediakan Overnight Oat yang dicampurkan susu pada waktu malam sebelum tidur dan simpan dalam peti sejuk. Seterusnya anda boleh menikmati terus oat ini ketika bersahur.

5. Makanan Dalam Tin

Terdapat pelbagai jenis makanan dalam tin antaranya sardin, kari ayam dan daging, rendang ayam, kurma ayam dan kacang panggang.

Anda hanya memerlukan masa yang singkat memasak makanan dalam tin yang sudah tersedia untuk dimasak. Anda boleh menanak nasi pada waktu malam untuk dimakan bersama makanan dalam tin ketika bersahur.

6. Serondeng

Makanan yang mudah ini boleh dapati dalam pelbagai jenis antaranya serunding ayam, daging dan ikan yang lazimnya laris dan wajib di bulan Ramadan. Serondeng boleh dimakan begitu sahaja dengan nasi, nasi impit, roti atau ban.

Makanan tradisi ini juga boleh bertahan lama jika disimpan dalam bekas bertutup dan dalam peti sejuk.

7. Ikan Bilis

Cara penyediaan ikan bilis yang paling sesuai adalah digoreng bersama bawang dan cili. Ikan bilis juga mampu membangkitkan selera makan anda.

Jika anda teringin makan sambal ikan bilis juga sangat mudah didapati melalui sambal segera. Namun, makanan pedas tidak digalakkan pada waktu sahur kerana boleh beri kesan kurang elok pada kesihatan.

8. Panaskan semula lauk waktu berbuka

Cara ini sangat bagus untuk elakkan pembaziran pada bulan Ramadan. Lebihan makanan sahur yang tidak terhabis untuk dimakan boleh disimpan dalam peti sejuk.

Anda hanya perlu memanaskan kembali makanan tersebut selagi ia masih elok untuk dimakan. Jika anda mahu rasa yang lebih enak dan sedap, boleh tambahkan sedikit sayur-sayuran yang sihat.

Demikian beberapa jenis dan tips penyediaan makanan yang boleh anda nikmati disaat akhir. Anda dinasihatkan juga untuk tidur yang mencukupi supaya mudah bangun sahur.

Bagi minuman pula, elakkan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan sebaliknya cukup mengambil beberapa gelas air putih.

Semoga tips ini dapat membantu anda menjalani hari bersahur dengan lebih baik. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Loading...