Ameng Amal Tarannum Sebagai Latihan Vokal

SIAPA yang tidak kenal dengan Ameng Spring kan? Vokalis band Spring yang sangat popular sekitar era 90-an dan mempunyai ramai peminat tegar.

Meskipun sudah berusia 52 tahun, Ameng ternyata masih lagi dikagumi oleh orang ramai kerana masih mampu menyanyikan banyak lagi meskipun stamina tidak lagi seperti ketika di zaman muda dahulu.

Sudah pasti ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia Ameng dalam penjagaan suara dan vokal kan?

Menurut sumber, Ameng berkata dia sering mengamal membaca al-Quran dan bertarannum sebagai latihan vokal selain turut melakukan senaman ringan seperti jogging dan gimnasium.

Tarannum adalah suatu ilmu atau kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses nada, rentak dan irama tertentu dalam pembacaan ayat-ayat suci kitab Al-Quran.

“Pada usia sebegini, saya masih mampu untuk menyanyi banyak lagu tetapi tidak dinafikan stamina sudah tidak kuat seperti waktu muda dahulu. Sekarang saya banyak melakukan aktiviti sihat seperti berjoging dan pergi ke gimnasium.

“Untuk vokal pula, setiap hari selepas Subuh saya akan mengaji dan bertarannum. Saya memang menjadikan amalan mengaji sebagai latihan untuk menyanyi kerana mengaji banyak membantu kita mengawal dan menggunakan pernafasan dengan betul,” kata Ameng.

Dalam perkembangan lain, Ameng bersama anggota Spring kini dikatakan sibuk dengan persiapan untuk konsert yang bakal berlangsung pada 9 Mac depan.

Difahamkan, ketika konsert itu Spring bakal mempersembahkan sebanyak 12 lagu popular mereka antaranya, Sejiwa, Butakah Cinta, Sepi Tanpa Cinta, Bourgenvilla, Sampai Hati dan Pesanan Buat Kekasih. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...