SATU PERUBAHAN

Anwar Bebas, Netizen Tanya Mana Saiful?

in Jenayah/Utama & Sensasi

SUSULAN pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari tahanan siang tadi, netizen mula tertanya-tanya keberadaan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Saiful merupakan individu yang mendakwa diliwat oleh Ketua Umum PKR itu pada tahun 2008 yang membawa kepada pembicaraan dan kemudiannya penahanan Anwar.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara bermula Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepadanya yang menyaksikan beliau diberikan kebebasan serta-merta.

Sejak berita mengenai pembebasan Anwar dilaporkan sejak beberapa hari lalu, netizen di media sosial sepert Twitter dan Facebook ingin Saiful dibawa ke muka pengadilan.

Ini kerana rata-rata dari mereka mempercayai bahawa Anwar konon difitnah melakukan perkara itu dan penahanannya hanya bermotifkan politik.

Justeru, mereka percaya bahawa Saiful sepatutnya ditahan dan disiasat semula selepas peralihan kuasa dari kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Ujar netizen, tiada siapa yang mampu menyelamatkannya kini selepas parti BN yang sebelum ini diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak telah hilang kuasa.

Ada juga yang berpendapat bahawa Saiful akan cuba ‘lari’ dan meninggalkan negara ini bimbang disiasat dan ditahan pihak berkuasa selepas ini.

Perlu diingat, Saiful pernah mengangkat sumpah mubahalah mengikut syariat Islam bahawa beliau bercakap benar mengenai dakwaan diliwat oleh Anwar itu.

Buat masa ini, Saiful masih belum mengeluarkan kenyataan selepas pembebasan bekas majikannya itu dan orang ramai pasti ternanti-nanti reaksi yang akan diberikan Saiful selepas ini. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Terkini dari Jenayah

Go to Top