Anwar Bebas, Proses Peralihan PM Bermula

DATUK Seri Anwar Ibrahim dibebaskan hari ini dan melangkah keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras pada jam 11.30 pagi, menyempurnakan janji Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum ke-14 dan memulakan transisi jawatan perdana menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan, membolehkan beliau bertanding kerusi Parlimen dan seterusnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

“Selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan agong XV, Sultan Muhammad Vdengan dinasihatkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah perkenan bahawa rayuan pengampunan serta merta kepada beliau,” menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz hari ini, yang menyatakan pembebasan berkuatkuasa hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu telah menjalani hukuman penjara selama lebih tiga tahun.

Sejurus keluar dari hospital tersebut, Anwar dibawa ke Istana Negara bagi menyempurnakan proses pengampunan dan pembebasan beliau.

Turut hadir ke Istana ialah Perdana Menteri Mahathir yang juga seorang anggota Lembaga Pengampunan.

Sejak awal pagi, penyokong Anwar telah berkumpul di sepanjang jalan di luar Hospital Rehabilitasi Cheras untuk menyambut pembebasan Ketua Umum PKR yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan meliwat itu.

Beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014 kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari pada 2008, kes yang didakwa oleh ahli keluarga dan penyokongnya sebagai bermotifkan politik.

Pembebasan Anwar yang sebelum ini dijadual berlaku semalam tertangguh kepada hari ini atas permintaan Pejabat Perdana Menteri.

PKR dijadual mengadakan majlis sambutan pembebasan Anwar pada malam ini bermula jam 10 di Padang Timur, Petaling Jaya, selepas solat hajat di kediaman beliau.

Anwar dijangka bertanding di kerusi Parlimen yang akan dikosongkan oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk membolehkannya menjadi ahli Parlimen dan menjawat jawatan perdana menteri. – Mynewshub.cc

Loading...