Anwar Tinggalkan Hospital, Ke Istana Menghadap Agong

KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat meninggalkan Hospital Rehabilitasi Cheras menuju stana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 12 tengah hari ini.

Anwar keluar menaiki kenderaan Jabatan Penjara Malaysia diiringi isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan meninggalkan perkarangan hospital kira-kira pukul 11.33 pagi.

Anwar sempat melambai dan senyum kepada penyokongnya dan pengamal media, namun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Anwar dikawal ketat oleh beberapa pegawai dan anggota polis manakala perjalanan Anwar menuju ke Istana Negara diiringi lima buah kenderaan dan dua buah motosikal pengiring daripada Jabatan Penjara Malaysia.

Lebih 100 pengamal media tempatan dan antarabangsa memenuhi perkarangan hospital berkenaan seawal 7 pagi bagi menunggu pembebasan Anwar. – BERNAMA

Loading...