Bayi Cedera Di Muka Terkena Bilah Dron

TIDAK dinafikan, dron merupakan salah satu permainan atau alatan elektronik yang boleh memberikan manfaat kepada mereka yang menggunakannya.

Bagaimanapun, sekiranya ia dikawal oleh seseorang yang tidak berkemahiran, penerbangan dron ini boleh membahayakan orang ramai di sekitarnya dan boleh menyebabkan kecederaan.

Perkara itulah yang berlaku di China apabila seorang bayi mengalami kecederaan di muka selepas terkena bilah kipas dron yang diterbangkan seorang remaja.

Kejadian itu berlaku ketika bayi berusia setahun itu yang dikenali sebagai Chengcheng sedang bermain di sebuah taman di Tongzhou, Beijing, China pada petang Rabu lalu.

Sejurus selepas kejadian itu, ibu bayi berkenaan, Qi memuat naik satu entri di laman sosial Weibo beserta gambar Chengcheng yang mengalami luka teruk akibat dilibas bilah dron itu.

Gambar yang dikongsi Qi itu menyaksikan Chengcheng mengalami luka dari bawah kening sebelah kiri hingga ke bawah hidung belah kanan.

Menerusi entrinya itu yang kini telah dipadam, Qi berkata dia terpaksa mebawa anaknya ke tiga buah hospital untuk mencari pusat perubatan yang boleh merawat luka itu.

Menerusi laporan Beijing Evening News, Chengcheng menerima sembilan jahitan di muka dan doktor mengesahkan anak kecil itu akan mempunyai parut kekal di mukanya seumur hidup.

Selepas dronnya mengenai bayi berkenaan, remaja berkenaan yang merupakan seorang pemastautin di negara itu tidak mengendahkan apa yang berlaku mengambil dronnya dan terus beredar dari tempat kejadian.

Qi, yang pada itu risau akan keadaan anaknya, terpaksa membiarkan suspek melarikan diri begitu sahaja namun sempat memohon saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan mengesan remaja berkenaan.

Menurut saksi, remaja berkenaan merupakan warga asing berkulit putih dan berambut perang berumur lingkungan bawah 20-an.

Justeru, pihak polis telah menahan seorang remaja berusia 14 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Untuk makluman, China mempunyai peraturan ketat berkaitan dron dengan beberapa kawasan di negara itu ditetapkan sebagai zon larangan untuk menerbangkan dron. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...