Brunei Terbit Mata Wang Khas B$50 Rai Jubli Emas

BANDAR SERI BEGAWAN – Kerajaan Brunei mula menerbitkan mata wang khas B$50 di seluruh negara itu sempena dengan sambutan jubli emas tahun pertabalan Sultan Hassanal Bolkiah.

Ia juga dikeluarkan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang antara Brunei dan Singapura yang menyaksikan kadar mata wang kedua-dua negara itu sebagai setara nilai sehingga kini.

Usaha unik itu dilakukan serentak antara Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) menerusi penerbitan set mata wang polimer B$50 dan S$50 bertemakan Flourishing Growth.

Perkara itu dinyatakan Pemangku Pengarah Eksekutif Unit Pengurusan Mata Wang, Pengiran Maslina Pengiran Haji Mahmud dalam sidang akhbar di AMBD, Kompleks Kementerian Kewangan, Jalan Commonwealth di sini.

“Potret Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, tertera secara cetakan intaglio di bahagian hadapan mata wang B$50 ini,” jelas beliau lagi.

Manakala mata wang S$50 memaparkan potret Presiden Singapura yang pertama, Tun Yusof Ishak. Sempena sambutan itu, AMBD juga menjual lima set numismatik edisi khas iaitu Set Mata Wang Kenang-kenangan.

Ia ujar Maslina, mengandungi B$50 dan S$50 dengan nombor siri yang sama dan prefiks CIA di mana set itu dijual dengan harga B$300 setiap satu. Bagaimanapun edisi mata wang khas itu terhad kepada sebanyak 5,000 set sahaja.

Set kedua pula merupakan 3-in-1 Uncut Sheet yang mengandungi tiga keping mata wang kenang-kenangan B$50 Brunei dalam satu lembaran tidak berpotong dijual dengan harga B$400 setiap satu dan ia terhad kepada 2,000 set.

Set ketiga adalah 8-in-1 Uncut Sheet yang mengandungi lapan keping mata wang kenang-kenangan B$50 dalam satu lembaran yang tidak berpotong dengan dijual pada harga B$1,000 setiap satu dan ia terhad kepada 1,000 set.

Set keempat adalah 40-in-1 Uncut Sheet yang mengandungi 40 keping mata wang kenang-kenangan B$50 dalam satu lembaran yang tidak berpotong dan dijual pada harga B$4,500 setiap satu dan ia terhad kepada 200 set.

Set terakhir yang dijual AMBD adalah Coffee Table Book yang menerangkan latar belakang reka bentuk mata wang kenang-kenangan sempena ulang tahun ke-50 perjanjian itu dan mengandungi satu set B$50 Brunei dan S$50.

Ia ditawarkan lebih murah iaitu pada harga hanya B$138 setiap satu tetapi terhad kepada 1,000 set sahaja. Orang ramai boleh mendapatkan set mata wang kenang-kenangan numismatik tersebut bermula pada 5 Julai lalu.

Baca: Brunei Lancar Nombor Plat Khas ‘Jubli Emas’

“Manakala set Coffee Table Book boleh didapati sejak 7 Julai. Lima jenis set ini dijual di Kedai Cenderamata Galeri Matawang AMBD, Bangunan BCMB, Kompleks Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive,” jelas Maslina lagi.

Di samping itu, AMBD dan MAS juga akan mengeluarkan mata wang kenang-kenangan, di mana orang ramai boleh membuat pertukaran kepada satu set yang mengandungi kedua-dua B$50 dan S$50 Singapura dalam folder khas.

Beliau berkata set khas itu, akan dapat ditukar di cawangan-cawangan Bank Baiduri, Bank of China Hong Kong (BOCHK), Bank Islam Brunei, Maybank, Bank RHB, Bank Standard Chartered, UOB dan Perbadanan TAIB.

Dianggarkan terdapat 250,000 set folder khas berkenaan mula dijual sejak Jumaat. Warna dan reka bentuk dua mata wang kenang-kenangan itu berunsurkan elemen menunjukkan sambutan jubli emas perjanjian tersebut.

Di hadapan, ia memaparkan logo ulang tahun ke-50 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang, iaitu motif bunga berkembang penuh, menyatukan bunga Simpur, bunga kebangsaan Brunei dan Vanda Miss Joaquim di Singapura.

Motif bunga berkenaan dan kelopak bunga yang mekar adalah simbol perkembangan hubungan di antara kedua-dua buah negara. Salah satu elemen unik yang terdapat dalam mata wang itu ialah ciri-ciri keselamatan lut sinar.

Ia boleh beralih warna untuk menggambarkan Istana Nurul Iman di Brunei dan bangunan istana presiden di Singapura. Reka bentuk di bahagian belakang pula menggambarkan kerjasama erat kedua-dua buah negara.

Ia meliputi dalam bidang pertahanan, pendidikan dan pelancongan. Kerjasama dua hala dalam bidang pertahanan digambarkan melalui anggota tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Singapura.

Manakala aspek kerjasama dari segi pendidikan pula digambarkan melalui imej sekumpulan pelajar dari kedua-dua negara yang melibatkan diri dalam pembelajaran rentas budaya dan bertukar-tukar fikiran.

Dari segi pelancongan pula, Brunei memilih Taman Negara Ulu Belalong Temburong yang dikenali sebagai Permata Hijau Brunei manakala Singapura memilih Taman Botani di republik itu yang juga tapak warisan UNESCO.

Ia sebagai lambang kepentingan perjanjian khas tersebut dalam mempromosikan sektor pelancongan di kedua-dua buah negara rantau Asia tenggara berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...