Dera Emosi Anak, Vida Disiasat Pegawai JKM?

SUDAH menjadi kebiasaan buat pengikut yang sering mengikuti perkembangan dan gelagat Datuk Seri Dr. Vida dalam mendidik anaknya secara terbuka menerusi media sosial.

Pun begitu, dalam keadaan tertentu gelagat usahawan terkenal itu mungkin tidak dapat diterima segelintir pihak, malah ada yang beranggapan Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman lebih kepada mendera.

Misalnya baru-baru ini, tindakan pengasas produk kecantikan itu ke atas Nur Edlynn Zamilleen atau lebih dikenali dengan panggilan Cik B telah disalahertikan ramai pihak.

Malah insiden berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Kabajikan Masyarakat (JKM) selepas pihak berkuasa tersebut menerima aduan daripada orang ramai.

“Jujurnya saya tertekan berhadapan dengan situasi ini. Saya didatangan oleh orang Jabatan Kebajikan Masyarakat sebab saya dituduh mendera emosi Cik B.

“Saya langsung tidak berniat untuk mendera emosi Cik B, sebaliknya mahu memupuk rasa yakin dalam dirinya yang kurang berkeyakinan,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di Instagram.

Vida turut menunjukkan bukti yang anaknya itu tidak mengalami kesan akibat tekanan emosi, malah masih menjalani rutin harian seperti biasa termasuk aktif bermain bola.

“Rasanya semua orang tahu dia seorang yang pemalu, kalau bukan Cik B, siapa yang kena tolong saya uruskan bisnes nanti? Siapa..siapa? Cik B kena tolong Mamaaa!” katanya lagi.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika Vida cuba melariskan produk baju raya di festival fesyen dan produk kecantikan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Kata Vida lagi disebabkan perkara itu, JKM turut mengadakan lawatan ke kediamannya bagi menyoal Edlynn secara perseorangan.

“Sampai Jabatan Kebajikan Masyarakat datang rumah soal Cik B one to one (berdepan),” katanya lagi.

Vida memang diketahui umum gemar menggalakkan anak perempuannya itu supaya menampilkan diri di khalayak ramai dengan gaya feminin.

Sebagai rekod, Vida sering memuat naik klip video ringkas di Instagram menunjukkan beliau menyolek Edlynn dengan produk kosmetik atau cuba menyerlahkan sifat keperempuanan anaknya itu melalui pakaian. – MYNEWSHUB.CC

Loading...