Dog, Si Kucing Penjaga Pasar Popular Di Internet

JIKA anda berkunjung ke pasar Hai Phong di Vietnam, pasti anda akan berjumpa dengan seekor kucing bernama Dog yang diamanahkan untuk menjaga gerai tuannya.

Menurut tuannya, Le Quoc Phong, kucing tersebut diberi nama Dog disebabkan ia sering bernafas serta bergaduh seperti seekor anjing.

Dalam masa yang sama, mulutnya juga sering terbuka seperti seekor anjing.

Dog sering dihias dengan memakai pakaian seperti seorang lelaki yang sedang menjaga gerai jualannya.


“Dog gemar makan aiskrim, bersiar-siar dan tidur. Dia juga ada banyak teman wanita dan anak di sini.

“Kucing saya ni suka ambil gambar dan ia sering memberi kerjasama bila dipakaikan pelbagai jenis baju,” kata Le Quoc Phong kepada portal Bored Panda.

Foto aksi lucu Dog kini sudah tular di serata tempat bukan sahaja di Vietnam, malah ia telah dikenali sehingga ke Thailand dan China.

Tambah Le Quoc Phong lagi, ada sesetengah pengunjung beranggapan bahawa Dog tidak selesa dengan pakaiannya tetapi ia bukanlah seperti yang disangkakan.

Kucing berbaka Scottish Fold itu kelihatan sangat selesa dengan apa jua pakaian yang dikenakan dan ia juga dapat berjalan secara normal tanpa halangan.

Lihat sajalah gambarnya yang lucu ini… Pasti anda akan tergoda dengan kecomelannya sehingga membuatkan ia mendapat perhatian pengunjung yang lalu lalang.

Di pasar Hai Phong, Dog sangat dikenali dalam kalangan peniaga serta pengunjung tetap.

Selain ‘berniaga’ ikan di gerai tuannya, Dog juga pernah menjadi peniaga daging, sayur-sayuran dan barangan runcit. Tetapi yang menjadi keutamannya pastilah di gerak ikan milik Le Quoc Phong.

Selepas waktu ‘bekerja’, Dog lebih gemar digayakan dengan pakaian yang lebih menarik.

Malah pada hari ‘cuti’, Dog mempunyai masanya yang sendiri untuk berehat seperti kucing normal yang lain.

Jika di Malaysia, kucing yang berada di pasar hanya akan menunggu untuk diberi makan atau sekadar ke pasar untuk mencuri makanan sahaja. – MYNEWSHUB.CC/ AH

Loading...