Falisha ‘Korban’ Rambut Panjang Demi Watak Gadis Punk

AKTRES kelahiran Kuching, Sarawak, Nur Falisha Crossley Faisal, mendedahkan kesanggupannya mengorbankan rambut panjang ikal mayang, demi tuntutan watak dalam filem sulungnya iaitu Mat Motor arahan Pekin Ibrahim.

Malah bagi pelakon yang mahu dikenali sebagai Falisha Crossley, 30 tahun; atau lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Kasha berkata, inilah keputusan amat berat apatah lagi selama ini tidak pernah berambut pendek.

“Memang selama ini Kasha tak pernah berambut pendek atas paras bahu. Jadi untuk filem pertama ini, Kasha rasa pengorbanan untuk memotong rambut ini dikira sebagai berbaloi.

“Jika diikutkan rasa hati memanglah sedih untuk mengorbankan rambut panjang ini tetapi demi memenuhi tuntutan karakter, Kasha kena pejamkan mata sahaja.

“Selain itu Kasha sendiri kena tampilkan kelainan dalam menghadapi  persaingan artis baru sekarang ini seperti cendawan tumbuh,” katanya yang dipetik oleh portal berita tempatan, AgendaDaily.

Falisha yang terpilih membawa watak sebagai Sikha iaitu seorang gadis punk, walaupun sudah membintangi sepuluh drama TV, termasuk lakonan terbaharunya menerusi drama Memori Cinta Suraya.

nur falisha1

Bagaimanapun namanya tidak menonjol seperti pelakon lain, mungkin faktor watak juga mempengaruhi karier seni dan dia percaya, apabila sampai waktunya, semua akan berubah.

“Sejujurnya Kasha suka watak Sikha ini. Dengan penampilan berjaket kulit, ranggi, rambut pendek, pakaian stylo dan bonceng motor gaya awesome, ia mengubah Kasha kepada watak ini seratus peratus, ” katanya gelak.

Wanita berkacukan Inggeris-Cina sebelah bapa manakala Melayu Sarawak sebelah ibu ini, turut memberitahu, pembabitannya dalam bidang seni sesuatu yang diminati sejak kecil lagi.

Malah Falisha yang pernah menyertai program Citrawarna dan peragaan fesyen tempatan, mengakui dia tidak terfikir untuk terbabit dalam bidang lakonan secara lebih serius.

Tambah wanita yang memulakan karier lakonan pada penghujung usia 30-an, dia menganggap umur dewasa sedemikian masih sebagai belum lagi terlewat.

Malah Falisha berkata, dia bersyukur dan mahu membuktikan kebenaran peribahasa iaitu jika ada kesungguhan dan kemahuan, pasti di situ ada juga jalan.

Pemegang ijazah sarjana muda kepujian dalam perakaunan dari Universiti Teknologi Mara, berkata segala-galanya bermula pada 2010, apabila menyertai iklan komersail termasuk terpilih membintangi Iklan Hari Raya Finas.

Bercerita pula punca pembabitannya dalam filem Mat Motor, Falisha menerima tawaran berlakon kerana pernah bergandingan dengan Pekin menerusi filem pendek berjudul Isteri Saya, arahan Wan Mohd. Hafiz.

“Watak dalam filem itu memberi impak dan kecenderungan Kasha sebagai anak seni. Justeru, Kasha merasakan sudah bertemu landasan untuk lebih serius sebagai pelakon pada masa akan datang,” katanya.

Falisha gembira berlakon dalam Mat Motor, kerana ruang serta peluang dapat tunjuk ajar daripada pelakon-pelakon hebat lain seperti Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Shaheizy Sam, Zul Huzaimy dan Kamarul Yusoff.

“Sebagai pelakon dan pengarah, Pekin tidak kedekut bantu Kasha. Saya banyak belajar selok belok lakonan dengannya. Semua kru dan pelakon dalam Mat Motor, dianggap seperti keluarga sendiri,” katanya lagi.

Antara drama lakonan Falisha ialah sebagai Juliza dalam drama Istikharah Cinta, Selamat Pengantin Madu dan terbaru telefilem Roket Air arahan Nazir Jamaluddin yang dibintangi Fir Affandi dan Mahmud Ali Bashah.

Mat Motor yang turut diarahkan bersama Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof, terbitan Viper Production ini, dijangka akan menemui penonton pada Januari tahun hadapan, selepas memulakan penggambarannya sejak 14 Jun lalu.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...