Filem J Revolusi Inspirasi Watak Jins Shamsuddin

WATAK Jefri Zain lakonan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang memegang peranan sebagai ejen perisik pernah menjadi kegilaan anak muda di negara kita sekitar tahun 1960-an.

Ketika itu dunia hiburan di seluruh dunia dilanda ‘deman’ dengan siri filem ala pengintip imaginasi British terkenal, James Bond.

Selepas lebih 50 tahun usia watak itu, ia kini dikembalikan kepada penonton tetapi dengan pengolahan cerita dan pendekatan yang berbeza.

Projek MMO melaporkan, Penerbit J Revolusi, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, hurut J dalam filem itu membawa maksud Jefri Zain iaitu berdasarkan watak yang dilakonkan Allahyarham Jins dalam filem Jurang Bahaya.

Filem J Revolusi Inspirasi Watak Jins Shamsuddin

“Pada mulanya kita merujuk pada watak Jefri Zain. Dahulu watak itu seperti James Bond Malaya.

“Tetapi bila kami mahu buat cerita perisik, macam tidak sesuai pula buat masa ini. Jadi kami gunakan jalan cerita pasukan Unit Tindakan Khas (UTK),” katanya yang dipetik dari Projek MMO.

Jins membawa watak Jefri Zain dalam tiga filem berasingan iaitu Gerak Kilat, Bayangan Ajal dan Jurang Bahaya.

Pelakon dan pengarah berusia 81 tahun itu meninggal dunia di sebuah klinik swasta di Taman Melawati, di ibu negara petang Rabu selepas mengadu sesak nafas.

Jenazah Jins yang disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan pagi Khamis.

Sementara itu, filem J Revolusi yang mula ditayangkan hari ini mengisahkan perjuangan anggota UTK dalam membanteras jenayah dan beberapa konflik yang dipaparkan dalam filem tersebut.

Filem aksi bernilai RM3 juta itu dibintangi Farid Kamil, Zul Ariffin, Izara Aishah, Fazura, Iedil Putra dan Azad Jasmin yang memaparkan gajet dan teknologi canggih digunakan UTK dalam menjayakan misi mereka. -MYNEWSHUB.CC

Loading...