SATU PERUBAHAN

Tan Sri Arshad Ayub

Graduan UiTM Jadi Pilihan Kerana Kuasai B.Inggeris

in Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Usaha Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak awal penubuhannya menekankan kepentingan Bahasa Inggeris dalam semua bidang pengajiannya berjaya memastikan graduannya terus mendapat tempat di pasaran kerja, kata Pro Canselornya Tan Sri Arshad Ayub.

Beliau berkata berikutan langkah itu juga, graduan UiTM lebih menjadi tarikan majikan berbanding lepasan universiti lain.

“Di awal penubuhannya, 90 peratus pensyarah ITM (Institut Teknologi MARA) mengajar dalam Bahasa Inggeris, dan ITM juga menekankan kursus-kursus profesional. Jadi bila kita dah ada manfaat menggunakan Bahasa Inggeris, kita perlu teruskan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini hari ini.

Katanya, selain penguasaan dalam Bahasa Inggeris, graduan universiti itu juga mendapat permintaan tinggi kerana sifat profesionalisme dan integriti yang dihasilkan daripada didikan dalam pelbagai kursus yang ditawarkan.

Arshad, 90, lulusan Ekonomi, Matematik Tulen dan Statistik dari Universiti College of Wales Aberystwyth, United Kingdom merupakan pengarah pertama ITM antara tahun 1967 sehingga 1975.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Gabenor Bank Negara pada 1975 hingga 1977, sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha di pelbagai kementerian.

Arshad bersara daripada perkhidmatan awam pada 1983 selepas 32 tahun berkhidmat, dan dilantik sebagai Pro Canselor UiTM pada 2000 sehingga kini.

Mengulas cadangan untuk membuka peluang pengajian di UiTM kepada golongan bukan bumiputera, Arshad berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan kepada mereka yang ingin menyambung pengajian di peringkat sarjana ke atas.

Katanya, perkara itu perlu dilihat dalam konteks persaingan bukan hanya di Malaysia dan rantau ASEAN tetapi di peringkat dunia.

“Selepas 51 tahun, mungkin sesuai untuk kita lihat semula, tetapi pelajar Bumiputera masing kurang.

“Pada pendapat saya, bagi peringkat sarjana muda ke bawah biarlah kekal kepada Bumiputera tetapi di peringkat sarjana, doktor falsafah, saya rasa kita boleh beri peluang kepada bangsa asing kerana kita mahu pelajar kita boleh bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Tags:

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top