Straight To the Point

Tiada Liputan Selular, Internet Hari Raya Nyepi Di Bali!

Hari Raya Nyepi Di Bali Tiada Liputan Selular, Internet!

in Gadjet/Gaya Hidup/Utama & Sensasi

DENPASAR – Setiap kali sambutan Hari Raya Nyepi di seluruh Bali, pulau peranginan antarabangsa Indonesia itu memang senyap sunyi apabila 4.2 juta penduduknya cuma berada di rumah seharian.

Segala-galanya sepi waima langsung sifar kenderaan di jalan raya, hatta Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di sini yang sibuk pun ‘tutup’ 24 jam demi hormati perayaan majoriti penganut Hindu di wilayah itu.

Bagaimanapun untuk tahun ini, Hari Raya Nyepi itu – yang jatuh pada 17 Mac bermula jam 6 pagi sehingga 6 pagi keesokannya bersamaan Tahun Baru Caka 1940 menurut kepercayaan tempatan; buat julung kalinya lebih tegas!



Jika sebelum ini, penduduk setempat malahan pelancong asing boleh isi masa dengan ‘layan’ telefon pintar kerana tiada siaran radio dan televisyen pun sepanjang tempoh 24 jam itu, tetapi kali ini liputan selular turut dipadam.

Semua operator telekomunikasi bahkan akan sekat perkhidmatan sama ada perbualan suara, kiriman mesej, data Internet serta aplikasi lazim lain untuk semua pengguna yang ada di ‘pulau dewata’ itu pada perayaan berkenaan.

Perkara aneh tersebut telah dipersetujui semua lapan pemimpin agama setempat termasuk pihak Majelis Ulama Indonesia (MUI) Wilayah Bali yang menjaga kepentingan lebih 500,000 orang Islam penduduk minoriti di sini.

Ketua Parisadha Hindu Dharma Indonesia, I Gusti Ngurah Sudiana ketika dihubungi portal Kompas.com di sini menjelaskan bahawa arahan itu diselaraskan demi memelihara kesucian Hari Raya Nyepi daripada gangguan gajet.

Ia meliputi suara nada deringan ketika menerima panggilan selain berbalas mesej WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya termasuk melayari Internet yang tentunya mengandungi bunyi laman video YouTube.

“Bukan hanya penganut Hindu, peringatan ini adalah kesepakatan dari seluruh badan agama, agensi pemerintah, pihak keselamatan dan tokoh masyarakat,” kata Sudiana memetik surat arahan tersebut bertarikh 15 Februari lalu.

Ia yang ditandatangani bersama pihak berkepentingan, tetapi mulai menjadi tular dalam kalangan netizen sejak 5 Mac lepas apabila ramai terkejut mempersoalkan rasional larangan terhadap gajet untuk penggunaan media sosial.

“Ini membolehkan komuniti Hindu dapat memberi tumpuan kepada urusan ibadah bebas daripada gangguan bising yang bersifat duniawi,” terang Sudiana dan menambah Gabenor Bali, I Made Mangku Pastika turut dimaklumkan.

Namun, jika ada kes kecemasan, penduduk atau pelawat asing boleh memohon bantuan daripada petugas keamanan desa adat atau disebut pecalang termasuk urusan penghantaran pesakit ke hospital. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Terkini dari Gadjet

Go to Top