IPD, Balai Polis Diperkasa Seiring Pasukan Elit PDRM

BERA – Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis akan diperkasakan seiring dengan keberkesanan dan kecemerlangan pasukan elit khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kecemerlangan pasukan elit khas seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) dalam membanteras jenayah berkait rapat dengan sumbangan kepakaran daripada IPD dan balai polis.

Selain mewujudkan suasana kerja yang kondusif, katanya, pemodenan atau pemantapan IPD dan balai polis penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan seiring transformasi tiga pasukan elit PDRM itu.

“Kerjasama oleh IPD dan balai-balai polis dengan pasukan elit tersebut menyaksikan indeks jenayah berjaya diturunkan sebanyak 53 peratus, satu angka yang diperakui dan disahkan oleh pihak ketiga yang kredibel.

“Sebab itu, kita berazam selain tiga pasukan elit tersebut, kerajaan juga akan perkukuhkan keupayaan IPD dan balai polis seiring cabaran semasa dunia kepolisan,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Anggota Parlimen Bera; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman. – MYNEWSHUB.CC

Loading...