Straight To the Point

Balik Kampung

Isi Borang Pulang Ke Kampung Di Balai Polis

in Jenayah/Utama & Sensasi

KUANTAN – Orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung pada Aidilfitri ini sekali lagi diingatkan untuk mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata ia bagi membolehkan polis mengetahui kawasan perumahan yang akan ditinggalkan dan melakukan pemantauan bagi mengelakkan kejadian jenayah, khususnya pecah rumah.

“Lebih 2,000 borang telah diisi di negeri ini dan kita menjangkakan jumlah ini akan meningkat pada saat-saat akhir menjelang Hari Raya yang dijangka disambut pada Jumaat ini.



“Setakat ini, jumlah mereka yang mengisi borang balik kampung telah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas, menunjukkan kesedaran masyarakat dalam hal ini semakin baik. Mereka faham kepentingan mengisi borang itu,” katanya.

Rosli berkata demikian kepada Bernama semasa ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Anggota di Lapangan di Stadium Darul Makmur di sini semalam, yang disertai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Othman Nayan dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, SAC Abdul Aziz Salleh.

Beliau menambah selain mengisi borang di balai polis berhampiran, mereka yang ingin berbuat demikian juga boleh menggunakan aplikasi Peronda Telefon Pintar Sukarela (VSP) di telefon pintar atau melalui talian hotline 999.

Rosli turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum pulang ke kampung.

“Mereka perlu pastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan dinasihatkan memasang lampu di tempat-tempat tertentu seperti di pintu rumah,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top