SATU PERUBAHAN

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Johor Sasar Bina 56 Pusat Dialisis Perbadanan Islam

in Politik/Utama & Sensasi

BATU PAHAT – Kerajaan Johor bercadang membina sebuah Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor (PIJ) di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui kerjasama PIJ dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pusat dialisis dengan kos rawatan RM180 bagi setiap sesi rawatan itu mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya kerajaan negeri yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kalau di luar, pesakit perlu bayar mahal iaitu RM240 bagi setiap sesi rawatan tetapi di Pusat Dialisis PIJ, pesakit hanya perlu bayar RM180. Sehingga hari ini, kami sudah ada dua iaitu pertama di Taman Rinting dekat Pasir Gudang dan kedua di Ayer Hitam di Batu Pahat.

“Kami akan bina tiga lagi pusat dialisis ini di Labis, Pagoh dan Kluang. Ini selari dengan manifesto yang kami telah bentangkan iaitu kami berhasrat memastikan setiap kawasan DUN mempunyai pusat rawatan dialisis sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor dan Pelancaran Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor (TWRJ), di Ayer Hitam, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim dan Pengurus Besar PIJ, Zulkiflee Abbas.

Kos penubuhan Pusat Dialisis PIJ di Ayer Hitam berkenaan menelan belanja RM1 juta melibatkan dua unit rumah kedai yang diubah suai bagi memastikan keselesaan pesakit dan mampu menjalankan rawatan kepada 72 pesakit bagi setiap sesi rawatan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata TWRJ dilancarkan bertujuan membantu umat Islam yang ingin memulakan perniagaan, menambah modal pusingan, peralatan bagi keperluan perniagaan dan membuka cawangan perniagaan.

“Dalam skim ini, TWRJ meletakkan kadar pinjaman sebanyak RM5,000 dan RM10,000. Dan pinjaman ini adalah pinjaman Qard Hassan atau pinjaman tanpa faedah bagi mereka yang berminat dengan skim pinjaman usahawan ini.

“Setakat ini, dana yang kami peruntukkan adalah sebanyak RM1 juta. Dan dana ini kami ambil hasil keuntungan anak syarikat PIJ. Kami berharap ini akan menggalakkan masyarakat kita untuk berusaha dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan secara tidak lansung meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya. – BERNAMA

Terkini dari Politik

Go to Top