SATU PERUBAHAN

Zakat Fitrah

Kadar Zakat Fitrah Kekal, Tetapi Singapura Pula…

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

PUTRAJAYA – Kadar pembayaran zakat fitrah untuk individu Muslim sepanjang Ramadan kali ini di semua negeri di seluruh negara menyaksikan tiada perubahan seperti bulan puasa tahun lalu.

Tinjauan Mynewshub terhadap portal rasmi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Malaysia (Jawhar) mendapati, kadar zakat tersebut di setiap negeri pada bulan Ramadan tahun ini secara rasmi kekal dengan ditetapkan sama sahaja.

Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; mengesahkan secara rasmi kadarnya RM7.

Manakala Negeri Sembilan dan jirannya, Melaka juga menampilkan tiada perbezaan apabila pihak berkuasa agama di dua negeri terbabit turut bersepakat menetapkan kadarnya kekal masing-masing sebanyak RM6.50 dan RM6.70.

Untuk rekod, Johor pada Ramadan tahun lalu melakar sejarah apabila memperlihatkan kadar zakatnya diselaraskan kepada RM7 berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM6 jika makan beras murah dan RM8 untuk beras premium.

Malahan, Terengganu dan Perlis suatu ketika dahulu juga ada pernah menetapkan sehingga tiga kadar berbeza untuk pembayaran zakat fitrah bergantung kepada jenis beras yang dimakan sebelum diseragam kepada satu kadar.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan semalam mengisytiharkan kadar zakat fitrah Ramadan tahun ini ialah S$5.00 (RM14.80) bagi kadar biasa dan S$7.00 (RM20.75) bagi kadar premium.

Sekadar perbandingan dengan rekod Ramadan pada tahun lalu, ia adalah jatuh sedikit daripada S$5.10 (RM15.10) bagi kadar normal tetapi naik untuk kadar tinggi berbanding S$6.90 (RM20.45), menurut laman sesawang MUIS.

Kadar rasmi tersebut kata pihak agensi milik pemerintah republik itu, adalah berdasarkan kepada pengiraaan purata harga runcit 2.3 kilogram beras mengikut ukuran berat Baghdad yang dimakan oleh masyarakat Islam tempatan.

Sejak tahun 2005, MUIS mula memperkenalkan dua kadar zakat fitrah berbeza iaitu menyertakan harga lebih mahal bagi individu Muslim yang memang berhasrat membayar sumbangan itu dengan lebih tinggi daripada kadar biasa.

Ini kerana mereka dikatakan secara lazimnya mungkin lebih berkemampuan dan makan menggunakan gred beras harga lebih mahal di pasaran berbanding individu yang dianggap sebagai miskin. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top