Kejutkan Peminat, Sheeran Buat Persembahan Di Lorong

SEMPENA lagunya diumumkan memenangi sebuah anugerah muzik, penyanyi terkemuka Britain, Ed Sheeran berbesar hati membuat persembahan percuma di sebuah lorong di Australia.

Persembahan spontan yang dilakukannya di Hosier Lane, Melbourne itu berjaya menarik perhatian orang ramai yang kebetulan lalu-lalang di kawasan berkenaan.

Mana tidaknya, seorang penyanyi terkenal antarabangsa sanggup membuat persembahan secara percuma tanpa mengenakan sebarang bayaran dan hanya dilakukan di sebuah lorong.

Sheeran mengambil keputusan membuat persembahan rahsia itu sebagai hadiah buat peminat setelah diumumkan merangkul ‘Song Of The Year’ menerusi lagu Perfect dalam Anugerah Muzik iHeartRadio yang tidak dapat dihadirinya.

Ketika diumumkan Sheeran memenangi anugerah tersebut, dia bertindak merakamkan satu video khas menunjukkan dia menyanyi di lorong tersebut dan disiarkan secara langsung.

“Maaf, saya tidak dapat ke sana, saya di Melbourne pada ketika ini. Sekarang jam 10.15 pagi dan saya menerima anugerah ini.

“Terima kasih banyak kepada semua warga iHeart, semua DJ radio, dan semua peminat. Mereka telah menyiapkan tempat ini agar saya dapat membuat persembahan, jadi saya akan teruskan dengan persembahan ini,” ujarnya sebelum memulakan persembahan percumanya di hadapan orang ramai itu.

Difahamkan, persembahan spontannya itu diwar-warkan di media sosial hanya beberapa jam sebelum persembahan bermula dan menyaksikan peminat tegar penyanyi berkenaan tidak melepaskan peluang keemasan itu.

Peminat yang sudah mengetahui akan persembahan spontan itu bergegas ke lokasi tersebut dan menunggu sehingga berjam-jam sebelum Sheeran memulakan persembahannya selepas diumumkan memenangi anugerah berkenaan.

Walaupun peminat-peminat fanatik Sheeran mengetahui tentang persenbahan tersebut, tidak kurang juga mereka yang tidak tahu-menahu akan persembahan itu dan mendapat kejutan manis apabila melalui kawasan tersebut.

Video persembahan Sheeran itu tersebar menerusi laman Twitter setelah ia dirakam oleh mereka yang kebetulan berada di Hosier Lane ketika itu.

Selain anugerah ‘Song Of The Year’, Penyanyi berusia 27 tahun itu juga telah memenangi kategori ‘Male Artist of the Year’, ‘Most Thumbed Up Video’ dan ‘Pop Album’ pada anugerah itu. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...