“Kenapa Tak Bagi Saya Jumpa Najib?” – Rakan

KUALA LUMPUR – Tindakan polis melarang seorang individu yang dipercayai rakan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melawatnya disifatkan sebagai tidak munasabah dan melanggar prinsip demokrasi.

Lelaki tersebut, Abdul Rahim Abdul Rahman, 65, yang merupakan ahli UMNO mempersoal tindakan polis itu memandangkan dia hadir ke kediaman bekas perdana menteri itu untuk memberikan sokongan moral kepada beliau.

“Saya tidak setuju dengan tindakan ini (polis tidak benarkan rakan melawat Najib). Saya juga tidak tahu status Najib sekarang sama ada ditahan di dalam rumahnya atau sebaliknya.

“Pada masa ini, sepatutnya saya dan beberapa rakan lain berjumpa Najib pada jam 12 tengah hari tadi tetapi dilarang.

“Kami akan terus setia menunggu (sehingga dibenarkan untuk berjumpa dengan Najib),” katanya dipetik laporan BH Online.

Abdul Rahim ditemui di perkarangan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini yang masih dikawal polis sejak lewat malam semalam.

Mengulas mengenai kali terakhirnya berjumpa dengan Najib ketika menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di ibu negara minggu lalu, beliau kelihatan tenang dan tidak terkesan dengan sebarang fitnah.

Katanya kepada Astro Awani pula, Abdul Rahim berpendapat polis seolah-olah sengaja mengambil masa lama untuk menggeledah kediaman Najib yang sehingga kini masih dipenuhi pihak polis.

“Polis geledah sejak semalam. Berapa masa lagi akan diambil dalam menjalankan siasatan? Saya datang untuk menziarahi beliau, itu sahaja.

“Dengan keadaan seperti ini saya melihat adakah Najib ini seolah-olah menjadi tahanan politik dalam rumah oleh Tun Dr. Mahathir?,” ujarnya kepada portal berita online berkenaan.

DATUK SERI NAJIB RAZAK

Pada awal pagi Khamis, polis membawa keluar tiga kotak berisi barangan peribadi dari kediaman bekas pengerusi Barisan Nasional itu.

Menurut peguam beliau, Datuk Harpal Singh Grewal, kotak tersebut mengandungi beg tangan, pakaian serta hadiah milik Najib.

Malam tadi, pihak polis telah menyerbu kediaman peribadi Najib dan lima lagi kediaman lain termasuk Pavillion Residence Kuala Lumpur dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Operasi itu dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB. –MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...