KWSP Rugi Lebih RM6 Bilion Sebulan PH Berkuasa

HANCUR… Pelaburan yang dilakukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi 10 buah syarikat tersenarai awam (PLC) mencatatkan kerugian berjumlah sebanyak RM6.09 bilion.

Ia dilaporkan jatuh teruk kepada kira-kira 12 peratus dalam tempoh sebulan sahaja selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lalu, menurut laporan eksklusif akhbar perniagaan tempatan ternama The Edge semalam.

Nilai pelaburan dana simpanan 14.72 juta pekerja tidak berpencen di seluruh negara tersebut malahan menurun secara mendadak daripada RM51.21 bi­lion kepada hanya RM45.12 bilion dalam tempoh genap sebulan lepas.

Laporan itu mendedahkan bahawa sektor pembinaan adalah yang paling teruk terjejas ekoran pe­ngumuman ‘bodoh’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mengkaji semula projek mega dilakukan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

The Edge melaporkan, 10 saham utama yang catat prestasi terburuk dalam portfolio KWSP sepanjang tempoh itu ialah Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan IJM Corp Berhad.

Tidak ketinggalan ialah Gamuda Berhad, Telekom Malaysia Berhad (TM), Axiata Group Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), CIMB Group Holdings Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Genting Plantations Bhd.

“Harga saham CMS telah jatuh 37 peratus menghapuskan RM1.7 bilion daripada nilai pasaran. Saham MRCB dan IJM yang masing-masing jatuh 32 peratus mencatatkan kerugian RM1.4 bi­lion dan RM3.1 bilion,” kata akhbar itu.

Menurut laporan The Edge lagi, saham Gamuda juga didapati merudum sebanyak 28 peratus, sekali gus berjaya mengurangkan modal pasarannya sebanyak RM3.7 bilion (rujuk jadual grafik senarai pelaburan KWSP di atas).

Selain itu, saham KWSP dalam empat buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Maybank, CIMB, TM dan Axiata turut mencatatkan kemerosotan terburuk menyebabkan KWSP kehila­ngan RM3.86 bilion dalam tempoh sebulan.

“Bagaimanapun penurunan harga saham TNB menjejaskan nilai keseluruhan pelaburan KWSP dengan angka paling ba­nyak. Gergasi utiliti tempatan itu menyaksikan RM8.5 bilion dihapuskan daripada modal pasarannya,” katanya.

Laporan itu berkata, laman sesawang KWSP menunjukkan bahawa nilai pelaburan dalam ekuiti turun RM5.63 bilion daripada RM344.35 bilion pada suku keempat 2017 kepada RM338.72 bilion pada suku pertama tahun ini.

Ditubuhkan pada 1951 lalu, KWSP diwujudkan untuk memenuhi keperluan dana persaraan bagi pekerja swasta dan awam yang tidak mempunyai skim pencen serta melibatkan 541,503 majikan aktif. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...