Lama Bercinta, Ainul Tunggu Masa Naik Pelamin

SERING dikaitkan dengan kontroversi kerana tampil berani dengan imej ‘tak cukup kain’, tetapi jika soal perkahwinan, pelakon hitam manis Ainul Aishah tetap berpegang dengan adat resam Melayu.

“Saya memang terbuka dalam soal berkongsi kisah peribadi…. Saya jenis yang tak suka ‘sorok’ termasuklah siapa kekasih. Tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya dipetik daripada BH Online.

Ainul atau nama sebenarnya Ainul Aishah Azizun lebih bersikap terbuka dalam soal hatinya dan kini dia sedang hangat menjalin cinta bersama dengan jejaka bertubuh sasa dikenali sebagai Khalid Redzuan.

Tetapi jika soal alam perkahwinan, pelakon filem Nana Tanjung itu lebih memilih agar soalan itu dijawab sendiri oleh Khalid sebagai wakil pihak lelaki.

“Soal kahwin, saya sudah bersedia… Kalau ada jodoh, adalah. Memanglah kalau boleh saya mahu mempercepatkannya.

“Namun, saya tidak tahu apa yang dia (kekasih) fikirkan. Kalau boleh, saya tak mahu buang masa dalam perhubungan kerana saya komited dan serius,” tambahnya lagi.

Sebagai seorang wanita, Ainul mengerti bahawa jika bercakap soal perkahwiann, ia seeloknya dijawab oleh pihak lelaki kerana mereka yang sepatutnya memulakan langkah.

Dalam masa yang sama, pelakon drama bersiri Lara Aishah itu juga menegaskan bahawa dia merupakan seorang yang ‘open‘ dalam setiap perkara dan lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan peribadi dirinya bersama dengan kekasih.

“Saya hanya jadi diri sendiri… Saya tak sembunyikan. Memang dari dulu lagi saya muat naik gambar kekasih supaya orang tahu saya rapat dengan siapa sekarang,” ujarnya lagi.

Kata orang jika bunga sudah bersedia, kumbang pun turut sama sedia untuk melangkah ke alam perkahwiann.

Bagi Khalid sendiri, dia juga sedang menanti saat yang sesuai untuk melamar gadis berusia 33 tahun itu untuk menjadi penyeri hidupnya.

“Sudah semestinya kami cuba beri yang terbaik dalam membina hubungan ini. Saya berkenalan dengan Ainul pada hari lahirnya, tahun lalu. Sudah hampir setahun kami berkawan.

“Soal kahwin memang saya nantikan detik itu… Cuma belum diputuskan bila. Lagipun, adik lelaki saya baru saja melangsungkan perkahwinannya,” katanya pula.

Bagaimanapun, mereka berdua juga tidak mahu terburu-buru dalam melakukan apa-apa keputusan soal perkahwinan kerana mahu ia berjalan dengan sempuna seperti yang dirancang.

Ainul kini sedang dalam perancangan bagi mengembangkan lagi perniagaan biskut A Cookies yang diusahakan oleh Khalid. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...