Mahathir Diperdaya Bertanding Kerusi Langkawi?

KUALA LUMPUR – Langkah Pakatan Harapan mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanding kerusi Parlimen Langkawi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menimbulkan persoalan.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, kerusi itu sangat berisiko untuk Mahathir mempertahankan kedudukan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

“Saya menyebut Langkawi kerusi terbaik untuk Mahathir, saya tidaklah memaksudkan Mahathir akan menang, sebaliknya hanya peluang Mahathir menang lebih cerah di kerusi itu berbanding Kubang Pasu, Putrajaya.

“Majoriti yang diperolehi calon Barisan Nasional(BN) Langkawi dalam PRU13 adalah sangat besar, iaitu 11,861 undi, begitu juga majoriti yang diperolehi oleh calon BN ke atas calon PKR dalam PRU12, iaitu 4,970,” katanya di Facebook hari ini.

Kamarul berkata, penyokong PAS yang menolak Mahathir sudah pasti menyukarkan mantan Perdana Menteri yang dikait dengan kontroversi peristiwa Memali pada 1985 tersebut menang di kerusi berkenaan.

Justeru, beliau mempersoalkan sama pencalonan Mahathir di Parlimen Langkawi itu bertujuan mensabotaj pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tersebut.

“Satu perkara yang tidak boleh diketepikan sama sekali adalah kemungkinan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan mensabotaj Mahathir bagi memastikan Mahathir tidak akan menang sekali gus membolehkan pemimpin lain menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang.

“Perlu diingat bahawa jalan politik ini ada beribu liku dan bukan bersifat sehala,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...