Malaysia Tidak Hanya Bergantung Pelaburan China

KUCHING – Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, Malaysia menerima pelaburan langsung asing daripada pelbagai negara dan tidak hanya bergantung kepada China.

Beliau berkata, aliran masuk pelaburan langsung asing bersih sebanyak RM39.2 bilion pada 2017 melibatkan pelaburan dari India, Jerman, Jepun dan Singapura, sekali gus menafikan tohmahan negara terlalu bergantung kepada China.

“Pelaburan langsung asing di negara ini sangat pelbagai, tetapi ada yang kata kita terlampau bergantung kepada China. Paling penting kenapa orang nak melabur di Malaysia? Sebab utama ialah ekonomi Malaysia kukuh, bagus dari segi infrastruktur dan yang paling penting keadaan politik di negara ini stabil.

“Negara yang membuat pelaburan di Malaysia hanya memilih negara yang aman dan tenteram,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada hampir 1,000 kakitangan awam persekutuan di Sarawak pada Program Kementerian Kewangan Malaysia #MOF Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Mohd Irwan berkata, bagi pengurusan kewangan negara pula, Malaysia berada di landasan ekonomi yang amat kukuh dan Bank Negara Malaysia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 5.5 hingga 6.0 peratus.

Menurutnya, ekonomi Malaysia yang baik membolehkan kerajaan menambah kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai depan malahan membuat keputusan meningkatkan jumlah bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pelbagai kategori.

“Keputusan menaikkan BR1M dibuat kerana ekonomi Malaysia kukuh, harga minyak di pasaran dunia makin naik, apabila naik cukai petroleum dan dividen yang kerajaan terima makin banyak, jadi kita bagi balik kepada rakyat,” katanya.

Pada program tersebut, Mohd Irwan juga mahu penjawat awam menjadi pengantara menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat mengenai ekonomi negara.

“Penjawat awam selalu mendampingi rakyat jadi perlu menyebarkan maklumat supaya tidak ada persepsi kerana maklumat dalam internet sudah ditapis atau ditokok tambah, jadi kita harus berwaspada dengan maklumat yang diperolehi,” katanya. – BERNAMA

Loading...