Manifesto BN Inklusif Janji Kemajuan Di Setiap Negeri

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bersifat inklusif merangkumi janji kemajuan di setiap negeri termasuk negeri yang dikuasai pembangkang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata manifesto yang mengandungi 14 teras utama beserta 300 inisiatif itu merupakan janji yang menyentuh kesejahteraan hidup masyarakat dengan mengambil kira keperluan semua negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Rakyat sendiri dapat merasai dan menilai perbezaan yang sangat jauh antara manifesto Barisan Nasional dengan manifesto parti gabungan pembangkang.

“Saya berharap agar rakyat tidak terkeliru dengan manifesto gabungan pembangkang yang bukan sahaja tidak jelas, malah tidak munasabah untuk dilaksanakan.

“Saya amat yakin dan percaya rakyat dapat memahami dengan lebih baik apabila meneliti manifesto yang lebih realistik dan futuristik.

“Ini kerana, manifesto BN adalah perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh kerajaan BN dan bukannya sekadar penyedap telinga semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Malah, katanya, manifesto BN lebih mementingkan serta memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif yang besifat serius dan ikhlas. – BERNAMA

Loading...