Straight To the Point

Memalukan… 5,000 PATI Malaysia Di Korea Selatan

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

SEOUL – Terdapat dalam purata 5,000 orang Malaysia yang bekerja dan menetap secara haram di Korea Selatan, dan segelintir daripada mereka terpaksa hidup seperti pelarian.

Bayangkanlah pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut sentiasa ‘lari’ daripada dikejar anggota penguatkuasaan negara ‘kimchi’ tersebut ketika operasi dijalankan.

Asalnya mereka terpengaruh dengan iklan jawatan kosong yang menjanjikan ‘habuan’ lumayan, sehingga telah melaburkan ribuan ringgit kepada ejen pekerjaan sebelum memasuki negara itu menggunakan visa pelancong.



Malangnya, angan-angan Mat Jenin mereka konon untuk merasai nikmat berpendapatan tinggi tanpa perlu berpelajaran tinggi jauh menyimpang daripada apa yang disangkakan.

Tinjauan wartawan portal mStar Online telah ke Korea Selatan untuk melihat sendiri keadaan PATI berwarganegara Malaysia yang kini hidup dalam serba kedaifan.

Sementara itu, menurut laporan akhbar The Korea Herald (TKH), angka 5,000 orang itu hanyalah jumlah diperoleh oleh sukarelawan dan ejen pekerjaan di Seoul, namun jumlah sebenarnya dianggarkan mencecah 25,000 orang!

Lapor TKH dalam satu siri laporan khas Januari lalu, ramai pekerja tanpa dokumen sah ini berhadapan dengan situasi buruk semasa bekerja di negara itu, seperti kemalangan di tempat kerja.

Ia mengakibatkan mangsa mengalami kecacatan kekal sehinggalah kepada permasalahan kemiskinan dan bergelandangan selepas dipecat oleh majikan tidak bertanggungjawab.

Sumber foto The Star Online

Antara lokasi yang dilawat kumpulan wartawan itu ialah Itaewon serta Daeso dan Muguk yang terletak di daerah Eumseong, kira-kira 80 kilometer dari ibu kota Seoul.

Salah seorang daripada PATI bernama Farhan berkata, dia dan dua orang rakannya menjadi gelandangan selama dua bulan sejak mereka dibuang kerja daripada kilang pemproses rumpai laut selepas hanya seminggu bekerja.

“Saya dipecat kerana saya jatuh sakit seminggu selepas mula bekerja. Kami terpaksa bergantung kepada rakan-rakan lain untuk makan,” katanya, sambil menambah bahawa adakalanya mereka hanya mampu makan biskut setiap hari.

Kata pemuda berusia 24 tahun itu lagi, setiap hujung minggu mereka akan ke Masjid Pusat Seoul manakala pada hari biasa, mereka tinggal di rumah salah seorang rakan mereka.

Semasa meninjau kawasan masjid tersebut, didapati beberapa beg ditinggalkan tanpa bertuan di tepi-tepi koridor dan dipercayai milik buruh asing yang tidur di situ.

Seorang lagi warganegara Malaysia, yang tidak mahu namanya didedahkan, berkata dia terpaksa tinggal di sebuah rumah yang sempit bersama-sama 18 orang penghuni yang lain.

Sumber foto The Star Online

Wanita itu, yang bekerja di ladang bawang dan ubi keledek, turut menambah bahawa rumahnya terlalu kecil sehingga ada di antara mereka yang terpaksa tidur di dalam tandas atau lantai dapur.

Dakwa wanita itu dan rakan serumahnya yang lain, terdapat beberapa kes di mana buruh Malaysia dicederakan secara fizikal jika mereka tidak melakukan kerja dengan cepat.

Cerita mereka itu tidak jauh beza dengan kisah-kisah penderitaan pekerja warga asing lain di Korea Selatan yang dilayan dengan buruk sekali hanya kerana status haram mereka.

Bukan sahaja mereka telah dipergunakan, malah mereka juga dipaksa bekerja sepanjang hari tanpa rehat dan dilarang daripada bercakap dengan rakan sekerja yang lain.

Mereka juga terpaksa bekerja tanpa diberi alat atau taklimat keselamatan dan tidak dibayar gaji yang setimpal kerana majikan mereka tahu mereka tidak berani untuk melaporkan perkara tersebut kepada penguatkuasa.

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri; lebih baik di negeri sendiri. Jika mahu cuba ‘pecahkan’ sistem dan bermegah bergaji tinggi, janganlah sampai gadai maruah diri dan negara! – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top