SATU PERUBAHAN

Menang Besar PRU, PH Kini Disahkan RoS

Menang Besar PRU, PH Kini Diiktiraf RoS Sebagai Sah

in Politik/Utama & Sensasi

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) telah diluluskan sebagai sebuah parti gabungan empat parti yang sah, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau, yang dinamakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Dalam Negeri berkata, permohonan PH sebagai parti gabungan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam.

Untuk rekod, PH merupakan gabungan empat parti politik anti-Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PPBM selain serpihan daripada PAS yang dikenali sebagai Parti Amanah Negara (PAN).

“Pada malam ini saya ingin umumkan sebagai Menteri Dalam Negeri, suatu keputusan yang telah lama kita tunggu-tunggu, walaupun tanpa penglibatan saya kerana saya belum mengangkat sumpah.

“Tetapi tindakan dilakukan melalui peringkat Ketua Setiausaha Kementerian (Dalam Negeri) yang telah memaklumkan bahawa pendaftaran Pakatan Harapan telah diluluskan RoS pada hari ini (16 Mei),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Timur, di sini malam tadi.

Turut hadir, isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – BERNAMA

Terkini dari Politik

Go to Top