Mia Ahmad, Suami Sambut Syawal Sederhana

KETIKA sebilangan orang memilih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meriah, berbeza pula bagi pelakon Mia Ahmad dan suami yang meraikan lebaran secara sederhana.

Tambahan pula, Mia yang sedang hamil kira-kira enam bulan dan bakal bergelar ibu pada September depan, Syawal yang bakal menjelang pastinya disambut dengan penuh kesyukuran.

Maka, tidak hairanlah sekiranya dalam meraikan lebaran, Mia membuat persiapan ‘dua dalam satu’ termasuk menyediakan keperluan buat si kecil.

Malah, pelakon drama Hati Perempuan itu juga mengaku tidak terlalu beriya-iya meraikan Syawal terutama dalam menyediakan keperluan peribadi.

“Selama ini, saya suka menempah baju raya. Tapi kali ini, saya beli persalinan yang sudah siap. Saya lebih suka beli kaftan kerana lebih sesuai dengan keadaan fizikal saya sekarang.

“Saya tak berani menempah baju kerana tidak dapat mengagak saiz perut apabila Ramadan berakhir. Jadi, cara paling mudah, saya beli saja apa yang sudah siap,” katanya dipetik BH Online.

Tambah Mia, buat masa ini dia hanya beli keperluan asas sahaja dan persiapan penuh untuk menyambut bayi sulungnya akan dibuat selepas Aidilfitri.

“Apa yang saya beli sekarang hanyalah keperluan asas… Kalau hendak kalut beli semua sekarang, saya hanya bersalin menjelang akhir September depan,” tambah Mia.

Dalam pada itu, Mia memberitahu dia dan suami akan menyambut Syawal di Terengganu memandangkan tahun lepas mereka beraya di Taiping dan Ipoh, Perak.

“Tahun lalu, saya beraya di Taiping dan Ipoh, Perak. Jadi, kali ini tiba giliran keluarga mentua di Terengganu,” ujarnya.

Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi dan suami, Izham Tarmizi berkahwin pada 13 Januari 2017 di Taiping, Perak. – MYNEWSHUB.CC

Loading...