SATU PERUBAHAN

Miss Filipina Dakwa 2 Anak Diganggu Di Sunway Lagoon

in Jenayah/Utama & Sensasi

MANILA – Ratu cantik Filipina, Ruffa Gutierrez mendakwa dua anak perempuannya diganggu oleh sekumpulan lelaki ketika mengunjungi sebuah taman tema terkenal di Subang, Selangor kelmarin.

Memetik laporan stesen tempatan ABS-CBN, beliau mendakwa kumpulan lelaki tersebut bukan sahaja mengganggu dua anak remajanya, Lorin Gabriella, 15, dan Venice Bektas, 14, dengan panggilan serta perbuatan kurang sopan.

Malah kelompok berkenaan turut bertindak merakam gambar mereka dengan menggunakan telefon bimbit. Ruffa atau nama penuhnya Sharmaine Ruffa Rama Gutiérrez juga merupakan model dan aktres popular di Filipina.

“Ketika kejadian, saya dan rakan pergi membeli makanan, manakala dua anak saya pergi bermain roller-coaster. Tiba-tiba kedua-dua anak saya datang dalam keadaan menangis dan memberitahu diganggu beberapa lelaki dewasa.

“Kumpulan itu turut merakam gambar mereka,” terangnya menerusi laman Instagram miliknya. Ruffa, 43, yang pernah menjadi naib juara Miss World 1993 turut mendedahkan nama taman tema tersebut ialah Sunway Lagoon.

Beliau seterusnya memberitahu bahawa mereka terpaksa meminta bantuan pengawal keselamatan taman tema berkenaan untuk pergi ke kenderaan mereka kerana bimbang kumpulan lelaki akan terus mengganggu mereka.

Ruffa dalam laporan berita stesen itu mendakwa, ia merupakan hari percutian paling teruk dalam hidupnya kerana kedatangan mereka ke Sunway Lagoon untuk bergembira kemudian bertukar menjadi tragedi yang tidak diduga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden gangguan itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Terkini dari Jenayah

Go to Top