Nabila Razali Sebak, Bangga Dengan Kemenangan Hael

PELANTUN lagu Pematah Hati, Nabila Razali mengakui tidak dapat menahan air mata sejurus rakan baiknya, Hael Husaini diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke 32 (AJL32), pada Ahad.

Memetik laporan mStar Online, Nabila berkata sebagai rakan seperjuangan yang paling rapat dengan Hael berasa bangga atas kejayaan yang diraih oleh penyanyi lagu Jampi itu.

Menurut Nabila, bukan sahaja dirinya malah penyanyi, Indah Ruhaila turut menangis kegembiraan atas kejayaan itu memandangkan mereka sudah berkawan baik sejak menyertai program realiti, Akademi Fantasia 2013 lagi.

“Sebagai kawan yang dah lama kenal mestilah saya bangga dan gembira dengan Hael apabila diumumkan sebagai juara pada malam AJL itu.  Selain saya, Indah Ruhaila juga menangis sebab kami tahu bagaimana Hael berusaha keras selama ini.

“Ini adalah kali pertama Hael dapat masuk anugerah berprestij dan menang pula. Sebab itu saya tak boleh mengawal perasaan dan menangis,” kata Nabila.

Dalam pada itu, Nabila berkata kehadirannya pada malam itu adalah semata-mata untuk memberi sokongan yang penuh terhadap rakan baiknya itu.

“Tujuan saya datang pada malam itu pun memang semata-mata nak beri sokongan sepenuhnya pada Hael. Alhamdulillah, saya dapat saksikan kemenangan dia,” katanya.

Ditanya mengenai kecaman segelintir netizen terhadap dirinya kerana menangis ketika Hael diumumkan sebagai juara, Nabila mengakui sudah ‘masak’ dengan hal itu dan menganggap mereka berhak memberi pendapat tersendiri.

Ujar Nabila, sekiranya terdapat pihak yang tidak memahami situasi itu bermakna mereka sememangnya tidak pernah mengikuti perjalanan kariernya dan Hael dalam industri seni tanah air.

“Biasalah netizen, semua orang nak bagi pendapat. Tapi ada yang tahu dan faham situasi yang saya menangis sebab rakan baik menang.

“Bila orang kata berlebihan, maksudnya dia tak mengikuti perjalanan karier kami semua tapi bagi yang tahu kerjaya kami dalam industri ini akan memahami,” ujarnya.

Untuk rekod, lagu Pematah Hati nyanyian Nabila adalah ciptaan sepenuhnya oleh Hael. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...