Nekad Solo, Lan Nafi Kembali Bersama Kristal

BEKAS peserta Gegar Vaganza 4 (GV4), Lan Solo menafikan kenyataan yang kononnya dia kembali bersama kumpulan Kristal yang pernah dianggotainya dahulu.

Mohd Razlan Mohamed Yusof atau Razlan menyatakan dia masih tetap akan meneruskan kariernya secara solo.

Kenyataan itu diberikan bagi menjelaskan kekeliruan yang melanda kerana Lan terlibat dalam klip video rakaman semula lagu Luahan Hati.

“Sebenarnya projek lagu terbaru Luahan Hati itu dibuat sebelum Kristal tamat kontrak dengan MVM Production. Kebetulan sewaktu klip video lagu terbaru itu dibuat semua anggota kumpulan Kristal mempunyai komitmen lain.

“Sedangkan dalam waktu sama hanya saya tidak mempunyai apa-apa komitmen jadi apa salahnya saya bantu MVM Production dengan menjayakan klip video itu,” katanya dipetik Harian Metro.

Klip video tersebut telah dimuat naik ke laman YouTube syarikat rakaman MVM Production awal Disember lalu.

Menurut Lan, dia sudah menjangkakan kekeliruan dalam kalangan peminatnya akan timbul.

Namun, jelasnya, itu hanyalah sebagai membalas jasa pihak MVM Production yang banyak membantu perjalanan seni Kristal semasa bernaung di bawah syarikat rakaman itu dulu.

Terdahulu, bekas vokalis Kristal ini mengumumkan menarik diri daripada kumpulan rock tersebut selepas anggotanya yang lain mengeluarkan kenyataan akan mencari vokalis baharu.

Baca: Lan Masuk Gegar Vaganza, Kristal Cari Vokalis Baharu?

Juga: Umum Undur Diri, Lan Tak Berdendam Dengan Kristal

Lagi: Segala Persoalan Akan Kami Jawab Nanti – Rody Kristal

Mengenai perkembangan kerjaya seninya pula, Lan akan fokus dengan projek solo dan akan dibantu oleh pasukan kerjanya sendiri.

Walaupun begitu, Lan masih belum membuat apa-apa perancangan untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat rakaman.

Lan muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam program GV4 sekaligus menewaskan Hazami dengan kemenangan tipis iaitu sebanyak 0.4% sahaja.

Tahniah dan selamat maju jaya kepada Lan dalam memulakan karier solonya dalam lapangan seni ini! – MYNEWSHUB.CC/SA

Loading...