SATU PERUBAHAN

Pengundi Kluang Diingatkan Tolak Pembangkang

in Politik/Utama & Sensasi

KLUANG – Pengundi Parlimen Kluang diingatkan supaya menolak pembangkang pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) demi pembangunan berterusan di daerah ini.

Pengerusi BN Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata pembangkang yang diwakili ‘orang luar’ bukannya bersunguh-sungguh mahu membangunkan Kluang berbanding calon tempatan.

“Saya mahu ingatkan pengundi, kita pilih wakil rakyat bukan semata-mata untuk duduk dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi untuk wakil kita perjuangkan penyelesaian masalah dan membawa pembangunan ke kawasan kita.

“Bila kita pilih calon ‘transit’ berbanding anak tempatan, rakyat tidak dapat apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra bersama peniaga Pasar Tani Kluang di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang memilih Setiausaha Publisiti DAP Johor yang juga penyandang kerusi DUN Senai, Wong Shu Qi untuk bertanding di kerusi Parlimen Kluang.

Md Jais yang juga penyandang kerusi DUN Mahkota berkata kekalahan kerusi Parlimen Kluang pada PRU13 kepada pembangkang sedikit sebanyak merencatkan pembangunan kawasan tersebut dalam tempoh lima tahun inu sekali gus merugikan pengundi.

“Kita tidak dapat peruntukan pembangunan RM5 juta setahun dari kerajaan dan disebabkan kekalahan juga beberapa pembangunan lain seperti rancangan mewujudkan kampus cawangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Kluang tidak dapat diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, Md Jais meminta pengundi Kluang bijak memilih wakil rakyat mereka terutama pengundi Kluang yang menetap di parlimen tersebut.

Beliau berkata bagi pengundi yang tidak menetap di Kluang pula mereka perlu bersikap adil terhadap pengundi yang menetap di Kluang supaya agenda pembangunan dapat dilaksanakan berterusan.

“Saya yakin mereka yang tinggal di Kluang nampak apa yang BN lakukan selama ini. Yang tinggal di Kuala Lumpur atau Singapura dan sebagainya, mereka tidak nampak kerana tidak tinggal di sini. Jadi, tidak adil kalau mereka tidak sokong BN kerana yang tinggal di Kluang memerlukan pembangunan oleh BN,” katanya. – BERNAMA

Tags:

Terkini dari Politik

Go to Top