Peperiksaan UPSR Diteruskan Di Kedah

ALOR SETAR – Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kedah akan diteruskan mengikut jadual walaupun berikutan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peperiksaan UPSR yang dijadualkan pada 11, 12, 13, 14 dan 18 September ini yang melibatkan 8,085 pusat peperiksaan, 51,363 petugas peperiksaan dan 443,794 calon di seluruh negara diteruskan mengikut jadual sedia ada.

Calon UPSR esok akan mengambil kertas Bahasa Inggeris pemahaman dan penulisan.

Semua calon dan petugas peperiksaan yang berdaftar termasuk calon UPSR di Kedah perlu hadir ke pusat peperiksaan bagi menduduki peperiksaan walaupun esok telah diisytiharkan sebagai hari cuti pelepasan negeri.

Dalam pada itu, KPM turut merafak sembah takziah kepada kaum kerabat DiRaja Kedah. – BERNAMA

Loading...