Percikan Api Pada Struktur Punca Kebakaran

PETALING JAYA – Punca kebakaran bangunan KWSP di Jalan Gasing. di sini telah dikenalpasti bomba.

Ia dipercayai berpunca daripada percikan api daripada kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di bangunan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid, berkata api merebak dengan pantas kerana pelapisan dinding yang digunakan bangunan itu bersifat mudah terbakar.

Jelasnya lapisan dinding tersebut sama seperti yang digunakan di Grenfell Tower, London, United Kingdom yang mengalami kebakaran pada Jun tahun lalu.

Beliau juga mengesahkan tiada kebakaran berlaku dalam bangunan, hanya lapisan pelindung di luar bangunan yang terbakar.

“Kebakaran bermula dari tingkat satu dan hampir keseluruhan bahagian luar bangunan KWSP musnah.

“Cladding yang digunakan juga adalah bahan mudah terbakar seperti yang digunakan di Grenfell Tower di London. Ia tidak sepatutnya digunakan di mana-mana bangunan, terutamanya di bangunan agensi kerajaan.

“Tambahan pula lagi dengan faktor angin yang kuat, ia mempercepatkan proses kebakaran tersebut,” jelasnya dalam satu sidang akhbar di perkarangan bangunan KWSP.

Turut memberi kenyataan dalam sidang akhbar tersebut adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish yang memberitahu tiada kemalangan jiwa berlaku.

Kesemua 600 orang pekerja serta pelanggan yang berada di dalam bangunan tersebut ketika kejadian berjaya dikeluarkan.

“Data pencarum juga selamat kerana kita ada data simpanan. Kita akan ambil tindakan untuk proses pemulihan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan pihak KWSP, cawangan dan pejabat yang terbakar di sini itu akan ditutup buat sementara waktu dan menasihatkan orang ramai untuk berurusan di cawangan KWSP lain.

KWSP turut memberi jaminan kepada pencarum bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas.

“Pasukan Pengurusan Krisis Cawangan sedang bekerja dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang akan memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain atau kawasan sekitar.

“Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengungsian bangunan telah dilakukan dan pejabat dan perkhidmatan kaunter ditutup.

“Kami ingin memberi jaminan kepada ahli bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas. Kami akan sentiasa memantau situasi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan setelah operasi cawangan dibuka semula,” kata kenyataan itu.

Kebakaran tersebut telah menyebabkan jalan raya sekitar Lebuhraya Persekutuan, Jalan Gasing serta Jalan Syed Putra sesak teruk. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...