Straight To the Point

guru

Pertukaran 16,000 Guru ‘Duka Lara’ Diluluskan

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah meluluskan hampir 16,000 permohonan pertukaran kes guru ‘duka lara’ daripada 30,000 keseluruhan permohonan kategori itu bagi tempoh 1 Disember 2015 hingga 1 Januari 2018.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata 7,000 permohonan lagi akan diproses sebelum penempatan baharu dilaksanakan pada Jun depan.

“Program atas dasar kemanusiaan ini kita terapkan untuk membolehkan suami isteri balik ke satu tempat dan tidak semestinya suami dan isteri guru, ada juga polis, bekerja di hospital dan lain-lain.



“Yang tujuh dan lapan tahun (tinggal berasingan) kebanyakannya sudah kurang, yang ada ini baki bawah lima tahun dan akan kita kurangkan jumlah yang tinggal berasingan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kerjasama strategik melalui Program Transformasi Digital dan Pembelajaran Abad ke-21 antara Kementerian Pendidikan dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.

Pada majlis itu, Mahdzir turut melancarkan pakej UNIFI Mobile untuk para guru iaitu Pek Jasa yang diperkenalkan TM dengan data tanpa had dan tanpa kontrak pada harga RM59 sebulan.

Mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan untuk menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat, Mahdzir berkata apa yang diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional sekarang adalah pilihan rakyat.

“Kalau Pakatan Harapan kata dia nak buat, kita dah buat lama dah… sebab dia pun baru tubuh Pakatan Harapan, jadi dia pun baru nak buatlah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan melakukan penyelenggaraan sekolah setiap tahun untuk keselesaan pelajar dan guru selain memastikan kualiti guru di tahap terbaik.

Katanya, sehingga kini 5.2 juta pelajar memilih sekolah kerajaan manakala sekitar 140,000 ke sekolah antarabangsa atau swasta. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top