Straight To the Point

PM Pertahan CEP Panggil 2 Hakim Arah Letak Jawatan

in Politik/Utama & Sensasi

TOKYO – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dilaporkan memanggil untuk berjumpa dua hakim baru-baru ini.

Bercakap kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun, di sini pada Selasa, perdana menteri berkata pada pandangan beliau, CEP tidak melanggari bidang kuasanya.

“Saya tidak fikir begitu. Mereka mempunyai hak untuk bercakap dengan begitu ramai orang yang pada hari ini tidak bersalah sebab mereka masih belum didakwa.



“Tetapi mereka boleh beri maklumat yang akan membolehkan kami ambil tindakan ke atas ramai orang. Jika kamu tidak boleh bercakap dengan mereka (CEP), kamu tidak boleh mencadangkan kepada mereka apa yang baik untuk mereka, maka seluruh kumpulan Majlis Penasihat ini seharusnya dibubarkan,” katanya.

Laporan menyebut bahawa pegerusi CEP, Tun Daim Zainuddin menerima kecaman hebat kerana didakwa memanggil Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin supaya menghadiri satu pertemuan, di mana beliau mendesak mereka meletak jawatan.

Dr. Mahathir berkata: “Mereka (CEP) membayangkan kepada kedua-dua hakim itu bahawa adalah baik sekiranya mereka meletak jawatan, jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa mengambil tindakan untuk menyingkirkan mereka sebab kami percaya perlanjutan tempoh mereka memegang jawatan sebagai hakim kanan adalah tidak betul.

“Majlis Peguam dan peguam terkemuka yang lain berpendapat perlanjutan seperti itu tiada kewajaran, ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kami telah memberi kepada hakim sehingga berumur 65 tahun untuk berkhidmat sebagai hakim, tetapi melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka bermakna menafikan hakim lain peluang untuk kenaikan pangkat.”

Perdana menteri turut ditanya tentang tindakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang keluar daripada Barisan Nasional (BN) Sarawak dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), berpusat di Sarawak.

Dr. Mahathir menegaskan GPS bukanlah anggota Pakatan Harapan (PH), yang dipengerusikannya, namun mereka mengikrarkan sokongan kepada kerajaan PH.

“Jadi kami kini mempunyai sokongan yang amat padu di parlimen bukan hanya daripada anggota parlimen PH,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top