Portal E-Muallaf Sebagai Rujukan Utama – Asyraf

KUALA LUMPUR – Portal E-Muallaf, emuallaf.islam.gov.my yang dilancarkan hari ini bakal berperanan sebagai pusat rujukan utama kepada orang ramai khususnya kepada golongan saudara baharu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata portal tersebut akan membantu saudara baharu dalam pencarian maklumat berkaitan kelas bimbingan agama, mendapatkan khidmat nasihat dan urusan kebajikan.

Katanya pelbagai faktor seperti kewangan dan perkahwinan menyumbang kepada mereka untuk memeluk Islam tetapi bagi memantapkan akidah dan pemahaman terhadap agama kerajaan bertanggungjawab memberikan bimbingan sewajarnya.

”Justeru, kewujudan portal ini menjadikan ia lebih relevan, selari dengan kehendak semasa dalam membantu bagaimana mereka boleh meningkatkan kefahaman Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan dan melancarkan portal itu, di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membangunkan sistem E-Muallaf bagi memastikan aspek pengurusan dan pangkalan data saudara baharu diuruskan dengan lebih berkesan dan sistematik.

Kira-kira 8,800 individu memeluk agama Islam tahun lepas. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…

Loading...