Projek “Bioeconomy” Untuk Pesara Tentera

KLUANG – Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp.) memeterai memorandum kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi melaksanakan projek-projek di bawah Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) di seluruh Malaysia.

Jalinan kerjasama itu bakal melibatkan pesara tentera sebagai peserta dalam projek BCDP yang berfokus kepada sub-sektor strategik seperti herba bernilai tinggi, pembangunan biji benih, akuakultur, penanaman nenas, penanaman cendawan, penternakan lebah madu, hortikultur dan sisa biomas.

Bioeconomy Corp. akan mengenal pasti projek-projek BCDP dan syarikat-syarikat peneraju yang bersesuaian, manakala Perhebat kan mengenal pasti pesara tentera yang berpotensi untuk menjadi peserta projek tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp., Dr. Mohd Shuhaizam Mohd Zain berkata, kerjasama itu dapat memberi pendapatan tambahan kepada pesara tentera yang telah banyak berkorban dan menyumbang bakti kepada rakyat dan negara.

“Melalui BCDP, veteran ATM bukan sahaja dapat menyumbang kepada bioekonomi negara, malah mereka dapat dibangunkan menjadi Bio-Agropreneur dan seterusnya meningkatkan mobiliti sosial mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pertukaran Memorandum Kerjasama tersebut berlansung pada Program NBOS Mesra Rakyat yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini. – MYNEWSHUB.CC

Loading...