“Pulang” Kolaborasi Terbaru Yuna Dan SonaOne

TIDAK pernah gagal memberi kejutan dalam kembara karier seninya sejak pertama kali muncul dengan EP yuna pada tahun 2008, pemilik nama sebenar Yunalis Zarai kini kembali dengan sebuah kejutan baharu.

Pada saat namanya meledak dengan kolaborasi antarabangsa bersama Usher, Crush, Yuna tidak mahu peminat setianya di Malaysia dibiarkan tanpa sebarang sentuhan magis daripada dirinya.

Kali ini, Yuna masuk dalam atmosfera berbeza apabila muncul dengan single duet bersama SonaOne.

Kolaborasi tersebut merupakan kerjasama perdana antara dua figura berpengaruh besar dalam belantika muzik tempatan.

Terbang bebas dan tinggi di angkasa muzik tempatan, Asia serta Amerika Syarikat, Yuna memilih Pulang sebagai single duet perdananya bersama SonaOne.

Ternyata, ia bukan satu karya yang dibikin hanya untuk memenuhkan profil seninya, tetapi Pulang membawa signifikan tersendiri bagi perantau berjiwa besar ini dalam mempelopori dan mencetak namanya dalam peta dunia.

Pulang yang dihasilkan sendiri oleh Yuna yang sudah mula membuat karya sendiri sejak berusia 14 tahun itu disifatkan sebagai satu material yang sarat mesej kasih sayang, pengorbanan, kekeluargaan serta impian yang sedang dijalani untuk sebuah kelangsungan hidup.

“Saya suka meletakkan Pulang sesuai dengan situasi saya sekarang. Saya seorang pengembara seni yang berkelana jauh di negara orang.

“Kerap berada di negara orang dalam satu tempoh yang lama untuk membentuk karier sendiri, saya sebenarnya selalu merindukan kampung halaman dan keluarga.

“Jadi Pulang dihasilkan dengan pengisian walaupun jauh kelana saya ke negara orang, saya tetap memerlukan kualiti masa untuk diri sendiri bersama keluarga.

“Dan saya harap begitu juga ia mampu memberi inspirasi kepada semua pendengar yang begitu keras mengejar impian tanpa perlu melupakan keluarga,” ujar Yuna mengenai Pulang.

Tambah wanita yang karya-karyanya tidak pernah gagal mencetus gelombang tersendiri, Pulang dijadikan apresiasi dirinya kepada semua rakyat Malaysia yang tidak pernah lelah menyokong kariernya.

“Saya perlu bekerja keras untuk tidak menghampakan harapan mereka kepada saya,” katanya lagi.

Bercakap mengenai pemilihan kolaborasi bersama SonaOne, Yuna tanpa berselindung memberitahu sudah lama mengagumi bakat yang ada pada Pemenang Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) menerusi lagu Apa Khabar bersama Joe Flizzow itu.

"Pulang" Kolaborasi Terbaru Yuna Dan SonaOne

Menyifatkan SonaOne sebagai istimewa dan berbakat besar, wanita yang pernah dipilih Pharrell Williams selaku komposer untuk singlenya, Live Your Life yang meledak di AS pada tahun 2012 itu cukup berpuashati dengan hasil sentuhan SonaOne di dalam Pulang.

“Sewaktu menulis lagu ini, saya telah terfikirkan SonaOne sebagai rakan kolaborasi paling sesuai.

“SonaOne menulis bahagiannya sendiri di dalam Pulang dan dia telah menghasilkan sesuatu yang luar biasa untuk melengkapkan karya ini. Saya berharap Pulang akan diterima baik oleh pendengar,” luah Yuna yang pertama kali melangkah keluar dari Malaysia pada tahun 2011.

Pejuang seni yang kini bernaung di bawah syarikat muzik gergasi milik David Foster, Verve Music Group itu juga menjelaskan, beliau tidak pernah meletakkan garis sempadan untuk berkolaborasi dengan sesiapa dalam memperluas dan memasarkan karya-karyanya.

Bagaimanapun, Yuna hanya meletakkan beberapa kriteria untuk memastikan karya yang bakal dihasilkan kelak akan meninggalkan impak yang besar bukan sahaja dalam profil seninya, tetapi industri hiburan tempatan atau antarabangsa.

Kata Yuna, asas utama untuk sebuah kolaborasi yang baik bersamanya adalah sikap antusias terhadap kerja yang dibikin serta jujur dalam setiap karya yang mahu diterjemahkan kepada pendengar.

“Saya tidak kisah walaupun seseorang itu adalah pendatang baharu dalam dunia muzik, tetapi apa yang penting adalah sikap jujur dengan setiap karya yang mahu dipersembahkan,” katanya.

Sebagai rekod, Yuna juga memulakan kariernya dengan hanya meletakkan hasil karyanya di laman sosial MySpace, pernah terkandas dalam pertandingan program realiti televisyen, One In The Million.

Namun bakat luar biasa dan kejujurannya dalam menghasilkan karya mengikut acuan Yuna telah meletakkan dirinya jauh meroket meninggalkan banyak penyanyi seusianya dengan melakar nama di peta dunia.

Untuk peminat setia Yuna, nantikan Pulang, kolaborasi sulungnya bersama SonaOne yang dipasarkan oleh Universal Music Malaysia dalam waktu terdekat ini.

Inilah buah tangan yang tidak boleh dilepaskan selepas Yuna membius pendengar dengan untaian hit bahasa Melayunya seperti Lelaki, Dan Sebenarnya dan Terukir Di Bintang.

Pulang akan membawa ‘pulang’ dan memahat keghairahan semula peminat terhadap Yuna, wanita manis kelahiran Kedah yang kini namanya harum di seluruh dunia. – MYNEWSHUB.CC

Loading...