Pusat Hiburan Didapati Jual Dadah Dalam Jus

IPOH – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membongkar kegiatan sebuah pusat hiburan di Jalan Medan di sini, awal pagi tadi, yang menjual dadah kepada pelanggan dengan mencampurkan bahan itu ke dalam jus buah-buahan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK, Zolkifli Mohd Dom berkata dalam serbuan itu seramai 22 individu termasuk lima pekerja pusat hiburan terbabit ditahan kerana positif dadah.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati dadah jenis methamphetamine dicampurkan ke dalam jus buah-buahan untuk diberikan kepada pelanggan.

“Ada antara mereka mendakwa sedar ada dadah dalam jus mangga itu dan ada antaranya yang tidak tahu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Serbuan yang dijalankan antara 3.30 hingga 5.30 pagi itu melibatkan 39 anggota AADK serta tiga anggota polis bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, 33 penagih berumur antara 19 dan 66 tahun ditahan di beberapa lokasi di Ipoh semalam.

Kesemua mereka dibawa ke pejabat AADK Kinta untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. – BERNAMA

Loading...