Straight To the Point

Rakyat Malaysia Makan Terlebih Garam Setiap Hari

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

PUTRAJAYA – Kadar purata pengambilan garam rakyat Malaysia ialah 7.15 gram sehari berbanding lima gram sehari seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata kajian rintis Kementerian Kesihatan pada 2015 menunjukkan golongan berumur 18 tahun ke atas mengambil lebih banyak garam.

Katanya ini boleh menyebabkan penyakit hipertensi atau darah tinggi yang boleh menyebabkan penyakit jantung dan strok serta boleh membawa kepada kematian.



Bercakap kepada pemberita bersempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2018 di sini hari ini, Dr. Subramaniam berkata kebanyakan orang tidak sedar bahawa mereka telah mengambil garam secara berlebihan dalam diet seharian.

“Rakyat perlu ubah budaya pengambilan garam dan amalkan budaya sihat. Ada keperluan untuk mengurangkannya bagi menjamin kesihatan mereka,” katanya.

Menurutnya, antara 20 jenis makanan yang kerap dimakan dan menyumbang pengambilan garam yang paling tinggi adalah kicap cair, nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, kicap pekat, roti canai, sup daging, sos tiram, mee segera, sos cili/tomato, sambal belacan, budu, ikan masin, stok perisa, makanan ringan, makanan di dalam tin serta makanan diproses.

“Waktu kita makan di rumah atau di restoran, mesti ada botol kicap di atas meja. Secara automatik, orang mahu menambah kicap pada makanan mereka.

“Saya seru kepada semua rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengurangkan garam kepada lima gram sehari atau kurang daripada satu paras sudu teh sehari.

“Saya percaya penggunaan garam sukar dikawal terutama dalam kalangan kanak-kanak memandangkan kumpulan itu gemar memakan keropok dan makanan segera.

“Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan pengusaha kantin menyediakan makanan sihat kepada para pelajar di sekolah-sekolah,” kata Dr. Subramaniam.

Dalam minggu Kesedaran Garam Sedunia yang disambut selama seminggu bermula 12 Mac bertemakan ‘5 Capai 5 Gram Garam’ beliau berkata mesej utama adalah untuk mengingatkan kembali kepada orang ramai tentang kesan bahaya pengambilan garam secara berlebihan, serta mencadangkan lima langkah untuk berbuat demikian.

Langkah-langkah itu adalah pilih makanan secara sihat, baca dan bandingkan label sebelum membeli makanan, beransur-ansur kurangkan garam dalam resipi kegemaran, elakkan garam, kicap dan sos daripada dihidangkan semasa makan serta gantikan garam dengan rempah ratus dan perisa asli semasa memasak untuk menambah perisa. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top