Rani Kulup Buat Laporan Polis Gesa ‘Siasat’ Pokemon GO

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup yang popular dengan tagline ‘Kipidap’ sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan laporan polis.

Sejak tahun 2011, beliau dilaporkan telah berjaya membuat lebih 1,000 laporan polis dalam pelbagai isu tempatan terutama yang melibatkan kepentingan hal ehwal agama Islam, kaum Melayu dan kedaulatan institusi beraja.

Kali ini beliau kembali lagi tampil dengan laporan polis yang terbaharu iaitu membantah permainan realiti Pokemon GO yang menurutnya merosakkan akidah umat Islam sekali gus mendesak ia segera diharamkan di Malaysia.

Bukan itu sahaja, permainan tersebut juga boleh mengancam keselamatan diri, kata Abdul Rani ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini dengan ditemani rakan aktivis yang lain.

“Pokemon GO juga boleh mengakibatkan ketaksuban sehingga penggunanya didapati sentiasa lupa, asyik dan pelbagai masalah yang sebagainya yang lebih teruk daripada benda-benda asyik lain dalam negara ini sendiri.

“Malaysia ini sudah banyak sangat benda melalaikan, sudah banyak sangat benda yang merosakkan akidah fikiran rakyat. Jadi buat apa hendak membawa masuk benda yang mengarut sebegini,” kata Abdul Rani lagi.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd. Noor mendesak agar aplikasi Pokemon GO diisytiharkan sebagai haram kerana kajian menunjukkan aspek negatif permainan realiti tersebut melebihi aspek positif.

Setakat ini, Arab Saudi dan beberapa negara Islam di rantau Asia Barat telah mengeluarkan fatwa haram bermain Pokemon GO kerana didapati mengandungi unsur syirik dan beberapa elemen yang jelas bertentangan syarak.

Mengulas lanjut, Abdul Rani menegaskan bahawa Pokemon GO banyak mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan generasi muda terutamanya golongan kanak-kanak kecil serta menjurus ke arah unsur ‘pemikiran kartun’.

“Otak mereka akan penuh dengan kartun. Nanti semua orang Malaysia menjadi kartun pula. Macam-macam kartun ada keluar dalam Malaysia,” kata beliau sambil merujuk ‘demam’ ketagihan ramai pemain tersebut di luar negara.

Justeru Abdul Rani menggesa pihak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta kementerian yang berkaitan supaya bertindak tegas segera mengharamkan permainan itu sebelum menjadi parah. – MYNEWSHUB.CC

Loading...