“Saya Tidak Kisah Sama Ada Dicalonkan Atau Tidak”

BAHANG Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018) yang bakal berlangsung pada 8 April depan semakin terasa.

Pastinya, peminat-peminat seni hiburan tempatan begitu teruja dan tidak sabar menantikan keputusan selebriti mana yang bakal merangkul salah satu anugerah yang dipertandingkan dalam anugerah itu.

Pun begitu, ketiadaan nama pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura dalam kategori Couple MeleTOP pada AME 2018 menimbulkan tanda tanya dan rasa tidak puas hati terutama dalam kalangan peminat mereka.

Susulan perkara itu, Fazura tampil memberi penjelasan bagi meredakan keadaan selain turut mengakui tidak kisah apabila nama beliau dan suami tidak tercalon dalam kategori itu.

Menurut Fazura, masih terdapat banyak perkara yang lagi penting untuk diberi keutamaan berbanding memikirkan hal yang disifatkan sebagai remeh temeh seperti itu.

“Sejujurnya, saya tidak kisah pun sama ada dicalonkan atau tidak. Pada saya, isu ini remeh-temeh.

“Banyak lagi perkara lebih penting untuk diambil berat. Antaranya, memperbaiki kualiti lakonan dan meningkatkan lagi kerjaya saya,” kata Fazura seperti dipetik BH Online, hari ini.

Sehubungan itu, Fazura meminta agar peminatnya supaya tidak perlu risau dengan perkara tersebut kerana beliau dan Fattah menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

Dalam perkembangan lain, pasangan sensasi ini dikatakan bakal melangsungkan majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur yang berlangsung pada 25 Februari depan.

Baca: Majlis Resepsi Fattah Amin, Fazura 25 Februari Ini

Terdahulu, Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Haris telah menafikan anugerah tersebut secara sengaja tidak mencalonkan nama dua selebriti berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata ia termaktub dalam terma dan syarat pencalonan kerana majlis pernikahan Fattah dan Fazura berlangsung pada 27 November lalu, sedangkan senarai pencalonan ditutup pada 14 November. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...