Sebelum Diikat, Mangsa Kena ‘Smash’ Dengan Kayu Besbol

AKIBAT terlalu hiperaktif, seorang kanak-kanak lelaki diikat menggunakan rantai besi tanpa sebarang pakaian oleh bapanya di kawasan tangga dalam kejadian yang berlaku di sebuah flat di Paya Terubong, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Difahamkan, kanak-kanak berusia 8 tahun itu dibiarkan sebegitu rupa dari jam 10 malam pada Sabtu sehingga pukul 3 pagi, yang mana menyebabkan dia terpaksa membuang air kecil di tangga.

Menurut laporan China Press, penduduk di flat tersebut mendedahkan mangsa sering didera oleh bapanya sejak berpindah ke rumah itu kira-kira lapan bulan lalu dan kejadian sama turut belaku pada bulan lalu, namun kanak-kanak terbabit tidak dibogelkan ketika itu.

Menurut mereka, suspek pernah memukul mangsa dengan pemukul besbol, selain menghalau dan membiarkan anaknya merayau di luar rumah, akibat tidak pulang ke rumah dengan segera selepas sekolah.

Seorang saksi yang juga penduduk di rumah pangsa itu, Michael Jin memberitahu dia pernah terdengar bunyi tangisan dari tingkat bawah pada Ahad lalu, kira-kira pukul 2.30 pagi.

Michael kemudiannya turun ke tingkat bawah dan menemui seorang kanak-kanak berada di tangga dalam keadaan bogel sambil buku lali kirinya diikat dngan rantai anjing di tangga.

“Saya cepat-cepat menggeluarkan telefon dan merakam keadaan kanak-kanak tersebut sebagai bahan bukti.

“Tidak beberapa lama kemudian, bapa kanak-kanak itu keluar sambil memegang pemukul besbol, saya segera menyambar pemukul itu.

“Saya terus memarahi lelaki itu dan memberitahu sudah mengambil gambar kejadian tersebut, agar dia melepaskan anaknya,” katanya.

Suspek kemudiannya membebaskan mangsa dan membawa anaknya masuk ke dalam rumah sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

Semalam, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan, kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah jagaan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelasnya, pihak polis sudah pun mengambil keterangan dari bapa kanak-kanak itu yang juga merupakan seorang pemandu van sekolah berusia 45 tahun.

Menurutnya, kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut selepas siasatan polis selesai. – MYNEWSHUB.CC

Loading...