Segalanya Tentang Kopi, Di Seluruh Dunia

TIDAK dapat dinafikan, kopi merupakan antara minuman yang dianggap sangat penting oleh orang ramai di seluruh dunia.

Lebih menarik, kopi boleh dibancuh dengan pelbagai cara mengikut citarasa seseorang individu. Sebagai contoh, hidangan kopi yang sering menjadi pilihan ramai adalah seperti espresso, macchiato, cappuccino, mocha, latte dan banyak lagi.

Menurut Pertubuhan Makanan Dan Pertanian yang merupakan salah satu organisasi di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kopi pada zaman ini menjadi hidangan utama pilihan orang ramai dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Ternyata kopi merupakan minuman kegemaran ramai, namun anda tahukah negara mana yang menjadi penghasil terbesar biji kopi? Siapakah yang minum paling banyak kopi? Dari mana orang ramai mendapatkan kopi?

Ini laporan BBC United Kingdom (UK) yang mengupas topik berkaitan kopi ini dengan lebih mendalam.

Negara Mana Pengeluar Kopi Utama Dunia?

Kopi merupakan salah satu minuman paling popular di seluruh dunia, dan ia dihasilkan di lebih daripada 50 buah negara.

Menerusi sumber yang diambil daripada kajian Persatuan Kopi Antarabangsa (ICO), Brazil merupakan pengeluar kopi terbesar di dunia.

Pada tahun 2017-2018, negara itu menghasilkan lebih daripada 51 juta beg biji kopi. Manakala negara yang menduduki tempat kedua ialah Vietnam.

India, yang merupakan antara pengeluar daun teh terbesar dunia, menghasilkan 5.6 juta beg seberat 60kg biji kopi pada tahun tersebut, dan negara jiran mereka, Sri Lanka menghasilkan 33,000 beg biji kopi.

Beberapa negara kecil menjadi antara pengeluar terbesar biji kopi. Sebagai contoh, Honduras menghasilkan lebih dari 8.3 juta beg biji kopi tahun lalu, sekaligus menjadikan biji kopi sebagai eksport terbesar negara itu.

Siapa Minum Paling Banyak?

Bawah topik ini, hanya dua negara yang didapati menelan minuman tersebut melebihi 10kg bagi setiap orang. Dua negara tersebut ialah Finland dan Sweden mengikut statistik yang dikeluarkan ICO.

Rakyat Finland merupakan peminum kopi terbanyak dunia apabila secara purata mereka minum sebanyak 12.5kg kopi seorang.

Negara-negara Scandinavia melengkapkan carta lima teratas peminum kopi terbanyak, mungkin disebabkan penduduk negara-negara tersebut yang terpaksa bergantung kepada minuman itu bagi menghadapi cuaca sejuk di negara mereka.

Statitistik tersebut menunjukkan 10 negara teratas semuanya merupakan negara Eropah, manakala penghasil terbesar kopi merupakan negara-negara membangun yang mempunyai cuaca yang baik untuk menghasilkan kopi.

Siapa Bayar Paling Banyak Untuk Kopi?

Tidak dinafikan, rantaian pembekalan kopi ini merupakan proses yang agak kompleks.

Bermula daripada tangan penanam dan kemudiannya dihantar kepada pedagang, pemproses kepada pengeksport dan akhir sekali daripada pemanggang biji kopi kepada peniaga.

Justeru, perubahan daripada segi harga sememangnya akan menjejaskan dan memberi kesan kepada peladang, pengeluar serta pelanggan.

Menerusi kajian ICO lagi, pelanggan di UK membayar harga minuman kopi lebih dari negara lain kajian pada tahun 2016, iaitu sebanyak 16.29 dolar Amerika Syarikat (AS) (RM63.45) bagi satu cawan kopi.

Ia kemudian diikuti negara Malta yang perlu membayar sebanyak AS$13.33 (RM51.80) bagi satu hidangan kopi dan Italy di mana penduduknya perlu mengeluarkan sebanyak AS$7.45 (RM29) bagi menikmati minuman tersebut.

Poland pula merupakan negara yang paling bertuah apabila rakyat di negara itu hanya perlu membayar sebanyak AS$3.17 (RM12.30) bagi satu cawan kopi.

Syarikat Kopi Berjenama Mana Yang Terbesar?

Mendapatkan satu cawan kopi sebelum bergerak ke pejabat pada waktu pagi merupakan ruti biasa yang dilakukan rakyat seluruh dunia. Namun, syarikat kopi manakah yang menjadi pilihan ramai?

Menerusi kajian yang dilakukan Allegra Strategies, terdapat lebih 22,700 syarikat kopi berjenama di Eropah pada tahun 2017, dan lebih daripada 27,900 syarikat di AS.

Syarikat kopi dari Seattle, AS iaitu Starbucks mendominasi rantaian kedai kopi di negara itu apabila mempunyai lebih daripada 13,500 cawangan.

Manakala di Eropah, Costa Coffee merupakan syarikat yang mempunyai rantaian cawangan terbanyak di benua berkenaan, apabila mempunyai sebanyak 2,755 kedai kopi, diikuti Starbucks dengan 2,406.

Biarpun dikenali ramai sebagai negara yang sinonim dengan peminum teh, UK menjadi rumah kepada 7,421 jenama kedai kopi pada tahun 2017.

Jenis Minuman Kopi Apa Paling Popular?

Rata-rata mereka yang membahasakan diri mereka sebagai peminat tegar kopi sering memperlekehkan peminum kopi lain yang tidak mampu menelan air kopi yang ‘kuat’ atau pahit.

Bagaimanapun, statistic menunjukkan jenis kopi yang popular di UK adalah kopi yang berasaskan susu.

Minuman kopi jenis Latte adalah produk opi yang paling laris di UK, dengan lebih daripada 930 juta cawan dijual daripada awal tahun lalu sehingga 25 Februari 2018.

Capuccino menjadi pilihan kedua penggemar kopi apabila sebanyak 800 juta cawan kopi terjual menerusi kajian Kantar Worldpanel.

Kopi putih semakin mendapat sambutan di negara itu apabila jualan kopi jenis berkenaan meningkat sebanyak 56 peratus dalam tempoh yang sama.

Secara jumlahnya, masyarakat membelanjakan sebanyak $8.97 bilion (RM34.6 bilion) untuk minuman kopi sepanjang tempoh itu.

Angka tersebut jauh meninggalkan perbelanjaan orang ramai terhadap minuman teh yang dicatatkan sebanyak AS$2.1 bilion (RM8.1 bilion) dalam tahun yang sama.

Ternyata minuman kopi ini menjadi pilihan orang ramai tidak kira di mana mereka berada. Ini menunjukkan bahawa anda sebagai penggemar kopi tidak keseorangan memandangkan jumlah yang dibelanjakan untuk kopi sangat besar di seluruh dunia. – BBC/MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...