Straight To the Point

Sel Barah Payu Dara Mampu Hidup ‘Dalam Diam’

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

PARIS – Saintis telah mengenal pasti mekanisme yang membolehkan sel kanser berada dalam bahagian lain tubuh sebelum muncul semula beberapa tahun kemudian dengan kesan yang membawa maut, menurut sebuah kajian yang diterbitkan semalam.

Dalam eksperimen menggunakan sel manusia dan tikus hidup, penyelidik mendapati, mengehadkan mekanisme itu dengan ubatan atau manipulasi gen berupaya melumpuhkan sel kanser dan menghalang kemampuan penyakit itu daripada merebak.

Kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Nature Communications itu turut menyediakan matlamat untuk pembangunan terapi rawatan kanser payudara.



Kira-kira 90 peratus kematian kanser payudara berlaku akibat metastasis, iaitu apabila penyakit berpindah ke organ atau bahagian lain tubuh.

Saintis sedang berusaha untuk memahami bagaimana sel kanser ini berupaya untuk bersembunyi sehingga berdekad lamanya dan apa sebenarnya yang jadi pencetus kewujudannya.

“Keputusan kami menunjukkan, sel kanser payudara boleh hidup tanpa dikesan, dalam tubuh pesakit untuk tempoh lama, menggunakan proses selular dikenali sebagai autofagi,” kata penulis bersama, juga penyelidik di Institut Kanser Kebangsaan (NCI) di Bethesda, Maryland, Kent Hunter.

Autofagi berlaku apabila mana-mana sel, sama ada sihat atau kanser, merombak komponen dalaman untuk hidup dalam persekitaran lemah tekanan dan kurang nutrisi. Ia membolehkan sel ditutup secara sebahagiannya, memasuki keadaan sama seperti hibernasi.

Penemuan itu membantu menjelaskan mengapa rawatan terkini sering gagal menghapuskan sel kanser payudara yang kekal selepas pembedahan dan kemoterapi.

“Kebanyakan ubatan antikanser tradisi direka untuk menyasar sel yang membahagi. Sel tidak aktif bagaimanapun, tidak aktif atau tidak kerap membahagi, justeru dianggap tahan rintangan terhadap ubatan jenis ini,” kata Hunter.

Hakikat bahawa sel itu bersembunyi dalam tempat lain tubuh juga membantu sel ‘terlepas’ daripada rawatan tempatan seperti radiasi.

Dalam satu kajian, para penyelidik diketuai rakan kerja Hunter, Laura Vera-Ramirez menyuntik sel kanser payudara tidak aktif ke dalam tikus.

Separuh haiwan diberi ubatan yang menghalang autofagi, sementara lain menerima ubat plasebo.

Dalam eksperimen kedua, mereka mengubah gen yang mengawal autofagi. Kedua-dua pendekatan secara ketara mengurangkan kelangsungan hidup sel kanser dan mengehadkan penyebaran, rumus kajian tersebut. – AFP

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top