Shukri Yahaya Mengaku Pernah Ponteng Puasa

PEJAM celik pejam celik bulan Ramadhan kini tiba lagi. Pada bulan ini jugalah umat Islam di seluruh dunia menjalankan ibadah puasa.

Apabila kita bercakap tentang bulan puasa, sudah pasti ramai antara kita yang mempunyai banyak kenangan lucu dan manis.

Tidak terkecuali buat pelakon yang sering dikaitkan memiliki rupa paras persis aktor terkenal Filipina, Jericho Gonzales iaitu Shukri Yahaya yang mengaku pernah ponteng puasa sebelum ini.

Shukri Yahaya atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Yahaya berkata, dia pernah ponteng puasa beberapa hari ketika memulakan karier sebagai pelakon apabila terpaksa berlakon aksi berat di bawah panas terik.

Katanya, memandangkan itu merupakan pertama kali dirinya menjalani penggambaran pada bulan puasa, dia masih belum dapat menyesuaikan dengan suasana di lokasi.

“Bayangkan saya terpaksa melakonkan babak berat di bawah panas terik. Ketika itu saya masih baharu, semangat pula membara kerana mahu memberikan yang terbaik.

“Biarpun tidak bersedia mental dan fizikal, saya anggap ia sebagai cabaran perlu dilalui. Sangkakan saya mampu bertahan, tetapi akhirnya saya ‘kantoi’. Itu kisah ketika awal menjadi pelakon.

“Alhamdulillah, sekarang saya sudah tahu apa perlu dilakukan untuk menjimatkan tenaga ketika melakonkan babak berat.

“Biarpun sedang berpuasa, saya tiada masalah untuk memberikan yang terbaik kerana lakonan adalah punca rezeki utama,” katanya dipetik BH Online.

Bagaimanapun, Shukri meluahkan rasa syukur apabila pihak produksi semakin prihatin dengan menjalankan penggambaran untuk babak ringan ketika bulan Ramadan.

Pada masa sama pelakon berusia berusia 29 tahun itu turut bersyukur apabila orang ramai mempercayai bakat dirinya menerusi lakonan dalam drama bersiri, Andainya Takdir.

“Sebelum ini, saya sering dianggap saya hanya mampu bawa watak baik atau romantik. Menerusi Andainya Takdir, penonton dan penerbit mula membuka mata serta mempercayai kekuatan bakat saya. Sehingga kini, saya masih cuba buktikan diri untuk menjadi pelakon versatil,” ujar Shukri.

Pun begitu, Shukri memberitahu dia akan terus berusaha mencari kelainan dalam lakonan kerana mahu berjaya seperti idolanya iaitu Datuk Rosyam Nor dan Shaheizy Sam.  – MYNEWSHUB.CC

Loading...