Sistem SST Akan Kembali Ganti GST?

BALIK ASAL… Jutaan rakyat Malaysia akan kembali kepada rejim sistem percukaian konsumer versi lama iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dimansuhkan pada 1 April 2015 lepas.

Ia susulan langkah tegas Kementerian Kewangan mengurangkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada hanya sifar peratus mulai 1 Jun depan, menurut laporan media tempatan hari ini.

Memetik kenyataan kementerian tersebut, media melaporkan tindakan itu perlu diambil ekoran pengurangan hasil daripada kutipan GST setelah kadarnya disifarkan yang sekali gus akan ditampung oleh pelbagai mekanisme lain.

Ini termasuk pelan langkah khusus untuk menjana hasil dan perbelanjaan yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Kementerian itu memaklumkan, ia sejajar dengan program pembaharuan fiskal yang dalam pelaksanaan.

“SST akan diperkenalkan semula. Pengurangan perbelanjaan akan dimulakan dengan langkah rasionalisasi dan efisiensi serta mengurangkan ketirisan,” kata kenyataan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada hari ini.

Semalam Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan GST kadar 0 peratus bermula awal bulan depan sebagai melaksanakan janji 100 hari gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Selain itu, secara kebetulan pula harga minyak mentah dunia telah meningkat ketara berbanding anggaran Bajet 2018 iaitu AS$52 setong. Menurut kenyataan itu lagi, ini akan menyediakan ruang fiskal dalam tempoh terdekat.

“Tanggungjawab fiskal, aspek transparensi dan tadbir urus cekap akan diberi lebih keutamaan dalam pelaksanaan program pembaharuan fiskal negara,” kata Kementerian Kewangan yang dipetik oleh pelbagai media tempatan.

GST di Malaysia adalah antara terendah di dunia selain lebih 300 produk asas pengguna ditetapkan sifar peratus. Ia berjaya kutip lebih RM42 bilion setahun sebagai sumber pendapatan alternatif daripada hanya hasil petroleum.

Sistem cukai ini turut dilaksanakan di lebih 190 negara dan dianggap amat telus serta mampu kekang ketirisan SST akibat kes aktiviti penipuan para peniaga tidak jujur yang juga dikenali sebagai ekonomi Mafia atau black economy.

Ini kerana waima SST menetapkan kadar 16 peratus dan ada produk pula lebih 20 peratus, pengguna tidak sedar harga barangan itu ada cukai tersembunyi sebab tiada dicetak di resit pembelian. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...