Sultan Brunei Kesal 81% Pelajar ‘Malas’ Solat Fardu

BANDAR SERI BEGAWAN – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Sultan Omar Ali Saifuddien bimbang dengan tahap penguasaan al-Quran dan pematuhan solat dalam kalangan pelajar sekolah.

Akhbar tempatan Borneo Bulletin melaporkan, baginda menyuarakan isu itu ketika berangkat pada Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran Kebangsaan 1438 Hijrah di Pusat Persidangan Antarabangsa di Berakas di sini semalam.

Justeru, baginda menyeru pihak berkaitan melakukan semakan dan pemantauan terhadap pendidikan agama di semua sekolah awam melibatkan 206 buah aliran rendah dan 47 buah aliran menengah serta 19 aliran agama.

Sambil memetik satu kajian yang dititahkan baginda sendiri dengan dilaksanakan Kementerian Hal Ehwal Agama dan Kementerian Pendidikan terhadap semua pelajar sepanjang tahun lalu, Sultan Brunei meluahkan rasa bimbang.

Berdasarkan kajian tersebut, dianggarkan 81 peratus murid di seluruh Brunei didapati tidak menunaikan solat fardu secara konsisten manakala empat peratus pula langsung tidak pernah mengerjakan rukun Islam yang kedua itu.

Sultan Hassanal Bolkiah turut menyentuh kadar pembacaan al-Quran apabila kajian itu mendapati cuma 41 peratus membaca kitab suci itu secara tetap dan 65 peratus responden mengakui tidak mahir terutama isu tajwid bacaan.

“Perangkaan ini menggambarkan urusan berkaitan solat dan al-Quran perlu diberi perhatian wajar,” titah baginda sambil menekankan kepada aspek kurang keberkesanan pengajaran dan kelemahan kaedah pengawalseliaan.

“Ini tidak dapat dielakkan, jika guru lemah dan sistem adalah berbeza, sudah tentu, pelajar juga ikuti pelajaran,” titah Sultan Brunei yang menggesa agar perkara itu diberikan perhatian dan bukannya hanya menyalahkan pelajar.

Untuk rekod, murid sekolah di Brunei tertakluk kepada arahan wajib pendidikan agama dan baginda bertitah, dasar diamalkan sekian lama itu disambut baik ibu bapa yang amat menitikberatkan pengajian agama secara formal.

Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, kecenderungan terhadap pendidikan agama malah menyaksikan ada keluarga sanggup upah khidmat tutor peribadi untuk mendidik anak mengenai solat dan al-Quran di luar waktu sekolah.

Baginda bagimanapun menasihati ibu bapa merujuk terlebih dahulu kelayakan guru tuisyen swasta tersebut dengan pihak Majlis Ugama Islam Brunei kerana semua pengajar agama perlu mendapat tauliah daripada pihak berkuasa.

Menyentuh isu tabiat solat, Sultan Brunei meminta semua pihak tidak memandang ringan kerana ia merupakan tuntutan Fardu Ain yang tidak boleh ditinggalkan waima sibuk macam mana sekali pun dengan urusan dunia.

Sehubungan itu, baginda mengarahkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menangani masalah tersebut lebih awal sebelum menjadi serius. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...