SATU PERUBAHAN

Sultan Brunei Wajib Murid Solat Jemaah Di Sekolah

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

BANDAR SERI BEGAWAN – Jika di Malaysia ada pembangkang bantah arahan murid solat jemaah di surau sekolah kerana konon didakwa langgar hak asasi manusia, namun lain halnya di Brunei.

Bersempena peristiwa Israk wal Mikraj yang menyaksikan Rasulullah SAW menerima wahyu solat fardu langsung daripada Allah SWT, Sultan Brunei bertitah agar semua murid menunaikan solat itu berjemaah di surau sekolah.

Sembahyang berjemaah ujar Sultan Hassanal Bolkiah, perlu dikembangkan di semua sekolah harian di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Brunei; serta bukan hanya diadakan di sekolah aliran Arab dan agama sahaja.

Baginda bertitah, pihak sekolah terbabit boleh menggunakan musolla dan mana-mana ruang bersesuaian sebagai mana sekolah Arab dan agama mengamalkan sembahyang berjemaah, sama ada di surau atau di masjid berdekatan.

“Perkara ini sangat bagus untuk ditekankan, bukan hanya bagi para pelajar, malahan semua ibu bapa dan penjaga yang ingin bersembahyang jemaah bersama-sama,” titah tegas Sultan Hassanal Bolkiah dipetik media tempatan.

Baginda menekankan perkara itu pada Majlis Sambutan Israk wal Mikraj Peringkat Negara Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi yang berlangsung meriah di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di sini kelmarin.

Secara kebetulan pada 11 Mac tahun lalu, Sultan Brunei pernah menzahirkan kekesalan apabila kajian terbaharu mendapati 81 peratus murid di negara kecil kaya minyak tersebut ‘malas’ menunaikan solat fardu lima waktu sehari.

Baca: Sultan Brunei Kesal 81% Pelajar ‘Malas’ Solat Fardu

Juga: Brunei Potong B$2 Gaji Bulanan Untuk Bina Masjid

Amali solat jemaah sudah pun diajar di sekolah agama di negara ini kerana ia dianggap perlu, bukan hanya setakat untuk menjadikan pelajar tahu apa itu sembahyang jemaah, tetapi juga istiqamah melakukannya, titah baginda.

Sultan Hassanal Bolkiah pada masa sama, turut menyeru rakyat Brunei untuk meningkatkan azam supaya rajin ke masjid dan surau terdekat bagi merebut ganjaran pahala berjemaah daripada sekadar amal solat secara seorang diri.

“Andainya kita kebetulan tidak mampu melakukannya setiap waktu di masjid atas urusan tertentu, maka sekurang-kurangnya kita perlu ada iltizam untuk melaksanakan bersembahyang jemaah bersama-sama keluarga di rumah.

“Hasil peningkatan sembahyang berjemaah itu, keluarga, sekolah, anak kita akan mendapat berkat, malah negara kita, Brunei juga beroleh berkat sama,” tekan baginda merujuk kepada ideologi negara iaitu Melayu Islam Beraja.

Manakala menyentuh mengenai memakmurkan masjid, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah menyeru agar Jabatan Hal Ehwal Masjid menjadikan setiap masjid di negara ini ‘mesra jemaah’ melalui persekitaran yang bersih dan menarik.

Ini termasuk mengisikannya dengan pelbagai kegiatan berkebajikan seperti ceramah agama, sesi pembacaan kitab secara berhalaqah dan lain-lain lagi yang cukup berkesan untuk meramaikan jemaah kariah masjid sepanjang masa.

“Inilah antara tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Masjid, dibantu jawatankuasa takmir masjid. Laksanakanlah tugas ini dengan sebaik-baiknya, nescaya akan mendapat hasilnya yang lebih baik dengan izin Allah,” titah baginda lagi.

Serta: Brunei Kempen Murid Minum Air Kosong, Bukan Milo

Dan: Puluhan Negara Tak Cuti Krismas, Tapi Brunei Dihentam

Baginda juga bertitah agar apa-apa yang berkaitan dengan isu masjid diperbaiki dan dipertingkat, seperti pegawai bertugas, penyediaan program dan khasnya isi penyampaian khutbah oleh para khatib pada setiap hari Jumaat.

“Khutbah dan penyampaian adalah nadi bagi agama tetapi jika khutbah dan penyampaian lemah, maka lemahlah nadi itu,” titah baginda yang mahu lebih banyak masjid dibina demi kemudahan umat Islam menunaikan solat.

Sehubungan itu, Dana Pembinaan Masjid ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang ramai bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan pemuliharaan masjid, sambil erat hubungan antara jemaah dan masjid.

Ini kerana pembinaan masjid dan pemuliharaannnya adalah sangat penting, supaya masjid sentiasa tersergam, selamat dan selesa untuk para jemaah beribadat dan memelihara akidah, tekan Sultan Hassanal Bolkiah lagi.

Menyentuh mengenai peristiwa bersejarah Israk wal Mikraj, baginda menasihatkan agar rakyat sentiasa bersyukur atas nikmat dikecapi, antaranya keamanan dan perpaduan sehingga dapat peringati peristiwa itu penuh selesa.

Titah Sultan Brunei, antara yang penting dalam peristiwa itu ialah persinggahan Nabi Muhammad SAW di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin, dengan menjadi imam sembahyang jemaah bersama-sama para nabi yang lain.

“Peristiwa itu tidak syak lagi merujuk betapa pentingnya solat berjemaah itu kepada kita umat Islam,” tegas Sultan Hassanal Bolkiah. Turut berangkat pada majlis itu ialah Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah dan ‘Abdul Malik.

Selain sesi ceramah, sebanyak 16 petak pameran yang disertai oleh pelbagai persatuan belia dari empat buah daerah menampilkan pelbagai aktiviti juga menyerikan lagi majlis sambutan berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Sembahyang berjemaah perlu dikembangkan ke semua sekolah-sekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan dan bukan hanya diadakan di sekolah-sekolah Arab dan Agama sahaja, menggunakan surau dan mana-mana ruang yang bersesuaian. Ini kerana sekolah-sekolah Arab dan Agama memang mengamalkan sembahyang berjemaah, sama ada di surau-surau atau di masjid berdekatan dan perkara ini sangat bagus untuk ditekankan, bukan hanya bagi para pelajar, malahan para ibu bapa dan penjaga yang ingin bersembahyang jemaah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah menekankan perkara itu pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1439 Hijrah/2018 Masihi, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. Ikuti berita selanjutnya di http://www.mediapermata.com.bn Oleh Pg Fairol RMF Gambar Infofoto #mengembangkan #amalan #sembahyang #berjemaah #HM #brunei #bruneiroyals

A post shared by Media Permata (@mediapermata) on

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top